Saturday, February 20, 2010

Temuduga Kerja : Apa Kunci Kejayaannya

Pada hemat saya, adalah amat baik jika saya memberikan sedikit manfaat berkenaan kemahiran temuduga buat pengunjung terutamanya bagi mereka yang masih dan sedang bergelumang dengan dunia mencari pekerjaan dan temuduga.

Berdasarkan puluhan sesi mengendalikan temuduga semasa bertugas di industri korporat dan juga beberapa pengalaman rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah, saya terlibat sebagai panel untuk menemuduga calon-calon yang punyai keputusan cemerlang seperti CGPA 3.5 ke atas, 'Mumtaz', 'First Class', 'Distinction' dan sebahagiannya mempunyai Ijazah Sarjana.

Malangnya, banyak kali saya dan rakan-rakan di sektor swasta dapati individu yang mempunyai kelayakan akademik cemerlang di Universiti tetapi ianya tidak banyak membantu calon semasa temuduga.

Temuduga Takut @ Seronok?


Kreatif, Berkeyakinan dan Berbakat

Saya bimbang degan fenomena kegagalan sistem peperiksaan di Universiti yang gagal melahirkan seorang yang kreatif, beryakinan serta berbakat. Selain dari pengalaman saya sendiri dan juga apa yang kerap saya dengari dari rakan-rakan, ada graduan cemerlang yang seperti 'batu' semasa interview dan ada juga yang langsung tidak mampu menjawab soalan panel yang berbentuk ujian emosi dan kreativiti menjawab. Mungkin kerana soalan itu tiada dalam silibus buku mereka agaknya.

Mungkin kerana soalan itu tiada dalam silibus buku mereka agaknya.

Saya bimbang, munculnya graduan yang cemerlang atas kertas kerana kecekapannya menghafal silibus sahaja. Akhirnya, sekali dicuba di alam realiti, tersungkur jatuh dengan sekali cubaan sahaja. Kerana itu, bagi saya soalan peperiksaan perlu diolah dalam bentuk yang lebih praktikal dan mementingkan kefahaman berbanding hafalan semata-mata.

Tidak dinafikan kita inginkan pelajar menghafal, tetapi adalah hafalan berserta kefahaman sehingga bila dibawakan satu soalan dan situasi mencabar, ia mampu menjawab dan mengadaptasikan formula hafalannya dalam konteks semasa. Mampu memperkembangkannya dan bukannya hafalan kosong.

Tukang Masak da Chef

Jika anda bagaimana seorang tukang masak biasa menjadi Chef yang hebat. Jawabnya, adalah dengan mempelajari dan menghafal resipi asal dari seorang guru, kemudian mencuba dan mempelbagaikan ramuan sendiri. Akhirnya lahirlah resipinya sendiri dan rasa tersendiri. Resipi asal hanya menjadi titik mula untuk menjadi kreatif. Itulah nilai tambah yang dikehendaki dalam proses menuntut ilmu. Iaitu memperkembangkan ilmu.

Mungkin kerana itu, pendedahan berpersatuan dan berprogram di universiti amat penting dalam pembentukan graduan yang cekap dan kreatif dalam menangani masalah dan soalan-soalan panel temuduga.

Melalui tulisan ringkas ini, saya akan cuba mencoretkan beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian oleh seseorang calon temuduga. Sudah pasti bukan semua aspek sempat untuk saya coretkan, terutamanya saya bukanlah seorang pakar bab pengurusan dan temuduga. Namun masih boleh berkongsi pengalaman.

Kelemahan Calon

Secara ikhlas, terdapat beberapa kelemahan nyata bagi kebanyakan calon-calon, kelemahan tersebut juga berulang-berulang.

Soalan Biasa


Tidak kiralah samada interview di dalam Bahasa Inggeris, Melayu atau Arab, soalan awal adalah :

"Please introduce yourself" atau "Sila perkenalkan diri anda"

Ini adalah ayat biasa yang digunakan oleh panel untuk memulakan sesi temuduga.

Jawapan calon bagaimana?

"Saya berasal dari kampung sekian, sekian..adik beradik 11 orang, saya anak yang sulong, ibu bapa saya bekerja itu dan ini"

"saya sekolah tadika di..., "

"Saya sudah berkahwin dah punyai ....anak"

Bagi saya, jika calon menjawab seperti jawapan di atas, ia adalah suatu kekurangan pada minda calon dan 'disadvantages' buat calon tersebut.

Ini kerana calon sepatutnya memfokuskan pengenalan diri dalam hal yang berkaitan dengan kerjaya yang diminta sahaja.

Cukup memfokuskan kepada bahagian berikut :

1) Kelulusan & Pendidikan formal: Pendidikan Sekolah Menengah dan Universiti sahaja serta kaitan apa-apa subjek yang diambil dengan kerja yang dipohon.

2) Tempat bertugas sekarang (jika bekerja, jika tidak sebutkan pengalaman di Universiti seperti Exco persatuan dan lain-lain)

3) Pengalaman dan kemahiran yang ada dan kaitannya dengan tugas yang dipohon.

Saya kira, tiga point tadi sudah cukup, tidak perlu menghuraikan silsilah keluarga, nama emak, nama atuk, kahwin, anak, kampung dan lain-lain. Ia hanya menunjukkan ketidakmatangan calon.

Panel biasanya menyoal soalan ini untuk menilai tahap fokus calon dalam menjawab soalan dan kaitannya dengan kerja yang diminta. Bukan untuk berkenalan dengan calon.

Tahap Satu

Selapas soalan pertama, panel biasanyaakan cuba memperkembangkan soalan dari jawapan pertama calon, terutamanya dalam soal :

1) Panel akan melihat keputusan peperiksaan dan subjek yang diambil calon di Universiti dan akan mengutarakan soalan berkenaannya. Justeru, calon mestilah cuba ulangkaji terlebih dahulu sedikit isi penting subjek yang berkaitan dengan tugasan yang diminta.

Sebagai contoh : Jika seseorang calon memohon jawatan Syariah Executive di sebuah Islamic Bank.

Sudah tentu panel akan cuba menguji ilmu dan kefahaman subjek Fiqh Muamalat yang diambil calon ketika di universiti. Demikian juga subjek Qawaid Fiqh dan lain-lain yang berkaitan.

2) Tugas yang calon lakukan sekarang (sekiranya ia sedang bertugas) dan kaitan yang boleh menyokong kerjayanya sekarang.

Tatkala itu, calon mestilah bersedia dengan segala point yang dapat mengaitkan kerjaya yang dipohon. Walaupun ia dari dua displin yang berbeza.

Sebagai contoh, calon seorang siswazah masih bertugas sebagai cashier di sebuah pasaraya (kerja sementara menunggu yang sesuai dengan kelulusannya), dan sekarang calon memohon tugas sebagai Eksekutif Akaun di sebuah syarikat swasta.

Maka calon mestilah berupaya mengaitkan faedah kerjayanya sebagai cashier dengan tugasan yang dipohon. Calon mestilah kreatif berfikir dan mengaitkannya, paling kurang pun sekurang-kurangnya sebutlah bahawa dengan kerjaya sebagai juruwang itu, anda sudah terdedah dengan suasana pekerjaan, membuat laporan, menerima arahan supervisor dan lain-lain"

Bagi saya, kemampuan calon untuk mengaitkannya dikira sebagai satu merit baik buat calon.

3) Mengapa memohon kerja ini sedangkan anda sudah bekerja sekarang?

Ini soalan yang amat biasa bagi semua jawatan. Setiap alasan anda adalah amat penting untuk panel menilai pemikiran anda dan perancangan kerjaya anda. Kematangan dalam jawapan pastinya banyak membantu.

Kenalan saya pernah memberitahu bahawa banyak calon bumiputra gagal memberikan jawapan yang baik dalam soalan ini. Malah hingga ada yang mengatakan :

"Tak pelah, jika tak dapat jawatan ni pun saya tak la kisah sangat pun sebenarnya"

Kata sebegini adalah satu kesilapan besar.

4) Mengapa kerap menukar kerja?


Soalan ini amat relevan dan penting bagi panel iaitu dalam situasi anda pernah bekerja di pelbagai syarikat dan organisasi sebelum ini, atau kata lainnya, 'melompat-lompat'.

Mereka pasti akan bertanya sebab-musabab banyak melompat, malah sebahagian Managing Director dalam sektor 'Oil & Gas' pernah berkata kepada saya :

"Semua calon yang dilihat banyak melompat dari syarikat ke syarikat dalam tempoh kurang setahun atau dua tahun, awal-awal kami dah reject"

Lihat, malah dalam kebanyakan sektor swasta mereka akan menilai tahap kesetiaan anda dengan satu syarikat. Mereka tidak mahu anda melakukan demikian kepada syarikat mereka nanti. Jawapan konkrit perlu anda sediakan.

Tanpa jawatan konkrit, kebanyakan majikan akan menggangap individu yang kerap melompat sebagai :

1) Tidak setia kepada satu-satu organsasi.

2) Gila pangkat.

3) Jenis bermasalah dan pastinya masalah di tempat lama.

4) Pengejar kenaikan gaji secara rakus. Iaitu dengan cara melompat-lompat.

5) Kurang kemahiran khusus dalam satu bidang kerana asyik melompat.

6) Kurang kemahiran interpersonel

Tahap Kedua

Tahap seterusnya, panel biasanya akan mula menguji sekaligus :

1) Tahap kemahiran ilmu dalam bidang kerja yang dipohon.

2) Cara penyampaian jawapan termasuk cara pandangan mata, cara tangan semasa bercakap

3) Tahap keyakinan semasa menjawab soalan.

4) Tahap kedinamikan calon semasa menjawab.

5) Minat calon dalam kerjaya yang dipohon.

Ini adalah antara fokus utama seorang panel. Namun, jika jawatan yang dipohon adalah sebagai eksekutif sahaja. Biasanya panel akan bersifat lebih toleransi kerana jawatan eksekutif adalah satu jawatan yang masih dikira kecil di dalam sebuah organisasi dan syarikat. Justeru, tahap ilmu dan kemahiran tidaklah menuntut satu tahap yang tinggi.

Bagaimanapun, sesiapa yang mampu menunjukkan tahap kemahiran dan ilmu dengan cemerlang sudah tentu lebih baik.

Bagaimanapun point 2,3,4 dan 5 masih amat penting buat calon, walaupun hanya bagi jawatan eksekutif.

Banyak kekurangan dikenalpasti di kalangan graduan kita dalam hal ini. Antaranya :-

1) Tidak yakin dengan jawapan. Ada dua jenis soalan dalam temuduga, yang pertama soalan fakta dan yang kedua soalan bukan fakta.

Bagi soalan yang memerlukan fakta tepat, jika calon tidak mampu menjawab, mereka masih perlu menunjukkan keupayaan untuk merujuk kepada sumber-sumber tertentu.

Bagi soalan yang memerlukan pandangan bebas bukan fakta; keyakinan amat penting. Keyakinan itu perlu dizahirkan melalui cara dan intonasi bercakap, memek muka dan sedikit pergerakan tangan.

Ini tidak, bila ada yang tidak boleh jawab soalan fakta, mulalah terganggu pemikirannya sehingga semua jawapan selepas itu tidak yakin. Apatah lagi jika diprovokasi oleh panel seperti katanya,

"Anda sebenarnya tidak layak dan belum bersedia untuk jawatan ini"

2) Tidak menunjukkan bakat dan kemampuan untuk menyumbang. Ini adalah aspek penting dalam sebuah temuduga, calon mesti menunjukkan minat untuk menyumbang dan mempelajari jika diterima sebagai eksekutif, tunjukkan minat dan keghairahan untuk belajar, dan bukannya sekadar "InshaAllah" dengan lemah longlai serta ayat-ayat yang tidak bermotivasi.

Kebanyakkan panel temuduga ingin melihat bakat calon untuk diperkembangkan kelak. Mereka tidaklah mengharapkan anda sehebat orang yang punyai pengalaman 10 tahun. Apa yang diharapkan adalah kesediaan dan pembuktian bahawa anda adalah seorang calon yang berbakat.

3) Merendah diri. Benar, merendah diri adalah satu sifat yang terpuji dalam Islam tetapi semasa temuduga calon perlu menunjukkan dan menaikkan kebolehan diri. Bukan meninggi diri dalam bentuk melampau dan 'over' tetapi cukup sekadar menunjukkan kedinamikan diri dan kelayakan anda untuk jawatanyang dipohon.

4) Tidak Relaks & Kelihatan Tertekan. Calon perlu relaks dan kelihatan selesa semasa temuduga. Tenangkan diri dan jangan rasakan anda dalam sebuah temuduga. Ia mudah menganggu debaran hati dan jantung anda. Bayangkan anda sedang berbincang dengan guru sahaja.

Bagi sektor swasta, kemampuan calon menunjukkan ketenangannya dan relaksnya dalam temuduga mampu memberi kredit kepada calon. Ia membuktikan calon adalah orang yang boleh menanggung beban dan stress kerja swasta yang biasanya sibuk dan tertekan.

Tahap akhir

Sebagai ringkasan dalam tulisan ini, panel akan melihat kepada gaji semasa anda, dan gaji yang dipohon.

Ini sebenarnya adalah satu proses ujian kematangan yang hebat. Calon mesti berhati-hati agar tidak dihentam dan ditertawakan.

Justeru, 'expected salary' mestilah melihat kepada 'salary scale' di dalam pasaran dan gaji calon sekarang.

Untuk itu, calon mesti membuat kajian tahap gaji seorang eksekutif di bidang perbankan sebagai contoh. Atau sector pendidikan dan lain-lain. Jangan membuka kelemahan diri dengan memohon gaji seorang pengurus atau gaji seorang pekerja kilang sahaja.

Jangan letak terlalu tinggi dan jangan tersilap minta terlalu rendah berbanding kelulusan anda.

Jika anda seorang yang cemerlang dan punyai sarjana yang specifik dalam jawatan dan bidang tugas yang dipohon, lihat pula sektor apa, jika dalam sektor perbankan Islam sebagai contoh, jangan letak kurang dari RM 3000 sebulan.

Jika calon meletakkan bawah dari RM 3000 dengan kreteria yang disebut di atas, ia menunjukkan calon kurang mengkaji dan kurang matang dalam sektor pekerjaan.

Jika calon punyai pengalaman 2 tahun, jangan pula letak gaji dipohon sebanyak RM 6000. Sudah tentu akan ditertawakan oleh panel, jika tidak di hadapan calon, dibelakang sudah tentu agaknya.

Sebenarnya banyak aspek yang perlu dilihat dalam meletakkan gaji yang dijangka. Termasuk aspek :

1) Saiz syarikat : Syarikat besar atau kecil, tempatan atau antarabangsa. Semuanya punyai 'scale' yang berbeza.

2) Jenis sektor : Kejuruteraan, Perbankan dan Kewangan, Pendidikan, Konsultan dan lain-lain. Ini juga banyak berbeza.

3) Jenis kemahiran : jenis kemahiran khas atau biasa. Kemahiran yang mudah dijumpai di pasaran adalah lebih murah dan yang sukar. Sebagai contoh ; calon yang punyai kemahiran Fiqh Mualamat dan Perbankan Islam amat sukar ditemui dalam pasaran, hasilnya calon yang punyai pengalaman boleh meletakkan permohonan sedikit tinggi.

4) Jenis jawatan : Ia amat banyak mempengaruhi gaji jangkaan. Termasuklah nama jawatan, iaitu eksekutif, Eksekutif Kanan, Pengurus, Pengurus Kanan dan lain-lain. Juga dari aspek, jawatan tetap, kontrak atau separuh masa. Semua mempunyai scale masing-masing.

Justeru, calon perlu merujuk kepada mereka yag berpengalaman untuk menentukan gaji jangkaan. Jangkaan yang tepat pula pastinya akan ditanya oleh panel.

"Mengapa anda layak dengan gaji sebanyak ini?"

Jawapan perlu disediakan dari awal. Elok juga disebutkan kepada panel bahawa ia terbuka untuk perbincangan. Tatkala itu, panel akan bertanya lagi;

"Berapa minimum yang anda boleh agaknya?"

Sekali lagi anda perlu menyiapkan jawapan dari awal.

Oleh kerana biasanya soalan ini di akhir temuduga, calon juga boleh menilai serba siedikit prestasinya dan respon panel temuduga dalam meletakkan aras minimum gaji yang dijangka. Jika panel kelihatan menyukai anda dan anda juga kelihatan 'performed' dalam temuduga, bolehlah anda nilaikan gaji minimum yang sedikit tinggi. Demikian sebaliknya.

Soalan Penutup

Biasanya, soalan penutup panel temuduga adalah:

"Do you have any question?" atau " Saudara/i ada apa-apa soalan?"

Kebanyakan calon akan mengatakan ‘Tiada soalan"

Bagi saya, ia sekali lagi satu tindakan yang kurang tepat.

Panel sebenarnya ingin menilai minda anda terhadap kerja yang dipinta. Justeru lebih baik anda bertanya, pastikan pertanyaan adalah standard dan menunjukkan anda seorang yang berpandangan jauh. Seperti tanya berkenaan masa depan syarikat, peluang karier bersama syarikat, tahap kestabilan syarikat dan lain-lain. Bagaimanapun, jika calon terlalu tidak 'performed' di peringkat awal temuduga, soalan-soalan besar ini mungkin tidak perlu kerana akan membosankan panel.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda :-

إن الله عز وجل يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه

Ertinya : Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai seseorang kamu apabila ia melakukan sesuatu kerja, ia sentiasa memperkemas dan menekuninya" (Riwayat At-Tabrani, terdapat komentar terhadap seorang perawinya iaitu Mus'ab bin Thabit, Ibn Hibban men ‘thiqahi'nya , dan majority melemahkannya)

Menurut sebuah hadis sohih pula :

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ على كل شَيْءٍ فإذا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وإذا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أحدكم شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Ertinya : "Sesungguhnya Allah s.w.t telah mewajibkan al-ihsan (professional, ketekunan dan ketepatan) dalam semua kerja, maka apabila kamu ingin berburu maka perkemaskan perburuanmu, apabila kamu ingin menyembelih maka perelokkanlah cara pemyembelihanmu, hendaklah ditajamkan alat sembelihanmu agar dapat merehatkan binatang yang disembelih" ( Riwayat Muslim, 3/1548 )

Kedua-dua hadis ini menganjurkan kecekapan dan professionalism dalam kerja. Tingkatkan ilmu dan kemahiran bermula dari proses temuduga. Moga Allah bersama kita sentiasa.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

7 November 2007

Baik diam

Banyak Kelebihannya berdiam diri. Orang yang pendiam itu lebih baik daripada orang yang suka berbicara yang tidak keruan. Baik perangai dan pendiam , kedua-duanya adalah sifat yang baik dan tidak susah mengerjakannya, asalkan hati menyuruh empunya diri berbuat demikian.

Nabi SAW bersabda : "Mahukah kamu aku khabarkan kepadamu, dengan semudah-mudah ibadat dan sesenang-senang atas tubuh,ialah diam dan baik perangai."
(Riwayat Ibnu Abiddunya dari Shafwan bin Salim).

Jika tidak dapat berkata-kata yang baik lebih baik mendiamkan diri. Berkata baik itu hendaklah kepada semua orang .Ketika Nabi SAW disarankan agar mengutuk orang-orang musyrik,baginda menjawab : "Aku tidak diutuskan untuk (melemparkan) kutukan,tetapi sesungguhnya aku diutuskan sebagai (pembawa) rahmat."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian juga kepada orang bawahan sama ada kerana usia atau pangkat. Anas r.a , pembantu rumah tangga Nabi SAW berkata: "Aku membantu rumah tangga Nabi SAW selama sepuluh tahun dan belum pernah baginda mengeluh " Ah!" terhadapku dan belum pernah beliau menegur ,kenapa kamu lakukan ini atau kenapa tidak kau lakukan ini? "
(Riwayat Ahmad)

Ingatlah kepada sabda Nabi SAW : "Seorang Mukmin bukanlah pengumpat ,yang suka mengutuk, yang keji dan yang ucapannya kotor"
(Riwayat Bukhari)

"Barangsiapa yg banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yg banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. dan barangsiapa yg banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya".
(Riwayat Abu Naim)

Jelaslah bahawa, ada hikmah yang tersembunyi di sebalik 'diam', usah gusar di label 'budak yang pendiam'.

Kalau orang menghina kita, bukan kita terhina,
yang sebenarnya orang itu menghina dirinya sendiri.


Diam orang mukmin itu ibadah,
Ibadah tanpa perbuatan,
Ibadah rasa,
Ibadah ini tidak meletihkan,

Kadang-kadang ibadah ini lebih baik daripada ibadah sunat,
Yang hatinya didalam kelalaian,
Macamana orang mukmin itu diamnya menjadi ibadah?

Kadang-kadang memikirkan dosanya,
Kadang-kadang memikirkan apa kebaikan yang nak dibuat,
Kadang-kadang memikirkan nak menolong kawan,
Kadang-kadang dia terasa kebesaran Tuhan,

Atau dia meniatkan, dia diam itu,
Tidak mahu bercakap yang bukan-bukan,
Kadang-kadang dia diam itu,
kalau dia bercakap,

Takut dia melakukan kesalahan,
Seperti dia mengumpat atau,
Kalau dia bercakap, takut-takut menyakiti hati orang,
Atau dia diam itu, menghormati percakapan orang,

Mungkin orang itu bercakap baik dapat pengajaran,
Atau dia hendak mengenal orang yang bercakap itu,
Baik atau jahat,
Dia biarkan saja orang itu bercakap,
Dan mendengar sahaja,
Kerana nak mengenal orang itu,

Kadang-kadang dia diam itu memikirkan dosa-dosa yang lalu,
Ataupun kecuaian dan kelalaian,
Yang telah dibuat, supaya dia bertaubat,
Ataupun mengingatkan ilmu pengetahuan,
Ataupun pengetahuan yang dilupakan datang semula ingatan,

Itulah yang dikatakan oleh pepatah Melayu,

"Diam-diam ubi berisi"

atau
"Diam-diam tong kosong"

atau
"diam-diam tong berisi sampah penuh kotoran ?
"


HIKMAH BERDIAM DIRI
Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita tersiksa kekal abadi di dalam neraka Allah SWT.

Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah.Oleh karena itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.

Banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak bicara tidak semestinya cerdik,
karena kecerdikan itu buah fikiran, orang cerdik yang pendiam lebih baik dari
orang bodoh yang banyak bicara.


HIKMAH DIAM
1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirahat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.

Rasullulah bersabda mengenai kelebihan diam yang bermaksud:

"Barangsiapa yang beriman kepada Alah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam".
(Riwayat Bukhari & Muslim)

"Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya". (Riwayat At-Tarmizi)


Menasihati orang yang bersalah , tidak salah.
Yang salah memikirkan kesalahan orang
.




Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam. Jalan yang terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat berbicara kearah perkara-perkara yang baik. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih yang bergantung kepada kekuatan iman pada diri manusia.


** Sumber: Majalah Anis Edisi Mei 2009

Sunday, January 17, 2010

Program Tautan Kasih Nisa' Parit


Nisa' Parit telah berjaya mengadakan program 'Tautan Kasih' pada 16hb Januari 2010 bersamaan hari Sabtu yang bertempat di tasik Universiti Teknologi Petronas, Tronoh.

Program yang bermula pada jam 8.oo pagi ini telah berjaya menarik peserta seramai 42 orang dan ada juga isteri-isteri yang hadir membawa suami dan anak-anak mereka menambahkan lagi keceriaan diawal pagi itu. Program ini dianjurkan adalah untuk mengeratkan lagi ukhwah antara sahabat-sahabat nisa, mengukuhkan lagi hubungan nisa' dan muslimat disamping memperkenalkan nisa kepada ahli-ahli yang baru dengan memberi sedikit penerangan dan pemberian pamplet berkaitan nisa'.


Dr Najihah memberi pengisian pagi
Suasana bersantai di tepi tasik betul-betul memberikan kedamaian yang tidak dapat dimadah dengan kata-kata. Angin yang bersempoi-sempoi menggetarkan hati dan sanubari akan kebesaran Allah S.W.T. Sujud syukur pada MU Ya ALLAH. Sebelum tazkirah yang disampaikan oleh Dr Najihahtussalehah bermula, peserta dan AJK yang hadir bersantapkan Nasi Lemak, Donut, kuih Muih bersama Teh -O. Setelah kekeyangan dengan makanan, hati pula diisikan dengan tazkirah bertajuk MUSLIMAT dan KELUARGA. Sessi Taaruf bermula bagi mengeratkan lagi persaudaraan dengan memperkenalkan nama dan asal kelahiran peserta yang hadir. Setelah masing-masing mengenali sahabat-sahabat yang lain, aktiviti 'Treasure Hunt' bermula. Setiap peserta dibahagikan kepada 5 kumpulan. Kumpulan Aisyah, Fatimah, Khadijah, Zainab dan Ummu Salamah.

cenderahati dari ketua Nisa
Tak kira tua dan muda, masing-masing terhibur dengan aktiviti yang dijalankan. Kumpulan Aisyah memenangi tempat pertama dan hadiah disampaikan oleh ketua Nisa' Parit, Puan Nurul Najmin.

Program tamat tepat pukul 11 pagi. Alhamdulilah, walaupun penat kerana terpaksa bangun awal bagi memastikan nasi lemak, kuih muih dan teh-o siap dimasak/dibeli, dan perlu berkejar-kejar ke tempat program seawal 7.30 pagi, namun semua AJK berasa puas dan gembira dengan program yang telah selamat diadakan. InshaALLAH, ketua Nisa' berjanji untuk mengadakan lebih banyak aktiviti terutamanya apabila tiba cuti musim sekolah.




Hadiah untuk kumpulan yang menang
JUMPA NANTI DI PROGRAM SURVIVAL NISA!!!!

Tuesday, January 12, 2010

Monday, January 11, 2010

Mengapa Muslim Biarkan Hati Mati?

*Artikel asal oleh :Ustaz Zainudin Hashim

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang.

Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.

Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud:

"Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam."
(Hadis riwayat Ibn Majah)

Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud:
"Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan."
(Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:
"Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan."

(Surah al-Baqarah ayat 74)

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.

Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati? Hati mati disebabkan perkara berikut:

* Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.

Allah berfirman bermaksud:
"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata."
(Surah al-Zumar ayat 22)

* Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati.

Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.

Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud:
"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia."
(Surah al-Ra'd ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud:
"Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik."
(Surah al-Syura ayat 88-89)

Tanda-tanda hati mati

Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.

2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.

3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.

4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.

5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.

6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.

7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.

8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.

9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.

10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya. Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.

Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;

Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;

* Hubbul dunia (kasihkan dunia)

* Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)

* Membanyakkan makan dan menjatuhkan�anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;

* Zuhud dengan dunia

* Zikrullah

* Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.

Sunday, January 10, 2010

Mereka Bukan Halangan


Sebahagian daripada kita ada yang menghadapi masalah dalam mendapatkan keizinan ibu bapa masing-masing untuk terlibat dengan program-program da’wah dan tarbiyah. Sehingga timbullah perselisihan dan sebagainya.


Hal ini terjadi mungkin kerana ketidakfahaman ibu bapa kita tentang hakikat da’wah yang sebenarnya, atau khuatir kalau-kalau anaknya terjerumus dan terlibat dengan perkara-perkara negatif yang semakin berleluasa di luar sana.



Apabila kita terlalu asyik berprogram sehingga mengabaikan keluarga, tidak hairanlah perasaan takut dan khuatir dalam diri ibu bapa kita akan timbul. Lebih-lebih lagi ibu bapa yang belum memahami hakikat da’wah, tujuan-tujuannya, dan juga manhaj dalam tarbiyah itu sendiri.

Ingatlah :
“Barangsiapa tidak mengerti sesuatu maka ia memusuhinya.”

Jika seorang anak taat pada kedua orang tuanya, perilakunya mencerminkan akhlak yang tinggi, mengekalkan pencapaian yang membanggakan dalam pelajaran, mempunyai hubungan yang baik sesama adik beradik, dan tidak pulang lewat tanpa sebab, sudah pasti ibu bapa kita akan mengizinkan semua permintaan kita yang sebelumnya tidak dibenarkan.

Malah adalah lebih baik jika ibu bapa kita mengenali siapa kenalan kita terutamanya sahabat-sahabat seperjuangan kita. Inilah jalan untuk mencapai tujuan dan meraih kepercayaan.

Kita sering menyaksikan bagaimana Rasulullah s.a.w. menghadapi keburukan dengan kebaikan, menghadapi segala cubaan dengan ketenangan jiwa, serta menghadapi segala rintangan dan gangguan dengan pemberian maaf dan do’a :
“Ya Allah, berilah petunjuk kepada kaumku ini, sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengetahui.”

Kebanyakan orang-orang yang tidak peduli kepada da’wah kita adalah orang-orang yang tidak mengenal hakikat da’wah ini. Imam Hasan Al-Banna pernah mengatakan, “Ketidaktahuan masyarakat akan menjadi penghalang jalan kalian. Oleh kerana itu, tugas kita yang paling mulia adalah menjadikan masyarakat mengenal hakikat da’wah kita, kerana kebersamaan mereka dengan kita adalah lebih baik.”

Allah swt. Berfirman :
“Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertaqwa, tentulah kami tutup (hapus) kesalahan-kesalahan mereka dan tentulah Kami masukkan mereka ke dalam syurga yang penuh kenikmatan.” (Al-Maidah: 65)

Tuesday, December 29, 2009

kerana 10 sen











High Tea Nisa' Sweet 17

Nisa Perak telah berjaya menemukan mantan pimpinan Nisa' yang lama dalam satu program bernama High Tea - Nisa' Sweet 17 yang telah diadakan pada 25/12/2009 bertempat di Laksama Cheng Ho Jalan Greentown Ipoh. Nisa' Perak berusaha mengumpul kesemua Nisa' dari semua kawasan termasuk Ahli Nisa' yang telah mendaftar sejak tahun 1992. Nisa' Parit tidak ketinggalan menghantar 5 orang wakil ke program tersebut. Antara objektif untuk program ini adalah untuk memperingati ulangtahun dan sejarah penubuhan Nisa'. Mengenali mereka yang telah bersama-sama Nisa' selama 17 tahun yang lalu dan yang paling penting untuk merapatkan dan mengeratkan ukhuwwah sesama ahli Nisa' yang hadir dan bersama meneruskan Perjuangan Nisa' pada masa akan datang. Program tersebut telah dirasmikan oleh Dr Rosni Adam, Pengarah Nisa' Malaysia.
Namun disebalik kejayan program ini, banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.
1) Dewan yang terlalu kecil.
Ahli Jawatankuasa sepatutnya sedia maklum bahawa peserta yang akan hadir adalah seramai 200 atau lebih. Dan mereka sepatutnya mencari atau menyediakan dewan yang lebih besar agar semua peserta yang datang dari jauh dan dekat dapat sama-sama duduk dalam dewan yang sama dan mendengar amanat yang disampaikan. Ramai peserta yang hadir terpaksa duduk di luar dalam keadaan panas. Alhamdulilah, hujan turun dengan renyai pada sebelah petang.
2) Speaker
Bagi peserta yang terpaksa duduk di luar, segala ucapan yang disampaikan tidak dapat didengar dengan jelas. Sayup-sayup sahaja. Speaker dewan sangat lah kecil dan hanya boleh didengar bagi mereka yang hanya dapat duduk di dalam dewan yang kecil. Maka ramai peserta tidak dapat mendengar dan akhirnya berborak bersama rakan -rakan disebelah. Objektif untuk memperingati sejarah penubuhan Nisa' tidak tercapai.
3) Persembahan Montaj
Slide persembahan montaj 'sengit'. tidak dalam posisi yang betul. hadirin yang hadir juga terpaksa menyegitkan kepala . Nisa' Perak perlu memastikan sebelum tayangan montaj dipasang, Slide perlu berada dalam posisi yang sempurna. Montaj terlalu panjang dan agak membosankan. pastikan montaj yang dihasilkan ringkas dan memberi impak yang jelas dan menarik. Banyak montaj diedit dari montaj Nisa' Malaysia dan lagu2 dalam Montaj tidak didengar dengan jelas. Hadirat yang berada diluar hanya melihat gambar di montaj tanpa mendegar lagu dalam persembahan montaj. Penghayatan kurang.
4) Forum
Panel yang dijemput semua nya mantap dan penyampaian juga menarik. namun tiada sessi soal jawab dari peserta kepada panel. walaupun masa memcemburi, sekurang-kurangnya bukalah dalam 1-2 soalan kerana saya pasti kesemua ahli nisa ingin bertanya sesuatu dan bukannya senang untuk bersua muka lagi dengan Pimpinan nisa' yang lama untuk bertnya hal Nisa' . Akhirnya forum yang ada hanya berkisar pada soalan dari moderator dan tidak dari peserta yang hadir.
5) Makanan
Makanan memuaskan dan sedap. Namun semasa peserta mengambil makanan, berlaku perebutan dan tidak selesa kerana tempat mengambil makanan kecil untuk menampung peserta yang ramai. Sepatutnya Nisa Perak perlu menyediakan ajk yang bertugas dalam pembahagian makanan agar semua Nisa' yang dtg dari jauh khususnya dapat makan dengan secukupnya sebelum pulang ke kawasan masing. Bila tiada ajk bertugas, maka keadaan menjadi kelam labut dan tidak bersistematik.
Nisa Parit menyatakan kelemahan dalam program tersebut bukan lah untuk mengaibkan sesiapa. Kita mahu menjadi IKON dalam masyarakat. Sepatutnya kita perlu menunjukkan sikap profesional kita dalam membuat sesuatu disamping untuk berdakwah kepada mad'u. diharap Nisa' Perak dan kesemua Nisa' kawasan perlu memperbaiki kelemahan yang ada dan terus menunjukkan kecermelangan dalam menarik masyarakat ke arah penghayatan Islam yang sebenar.

Harap Maklum

Assalammualaikum

Nisa Parit memohon seribu kemaafan kerana Program Jom Berenang Bersama Nisa' terpaksa ditangguhkan kerana proses membaikpulih kolam renang di UTP. InshaALLAH segala info terkini akan diberitahu kemudian. Maaf diatas segala kesulitan.
www.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.ws