Thursday, August 4, 2011

Membentuk Keperibadian Islam melalui tadarus al Quran


Oleh : YB. Dato' Tuan Guru Haji Harun Taib
4 Ramadhan 1432 / 4 Ogos 2011

Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Islam menganjurkan umatnya agar bertadarus membaca al-Quran. Ia berdasarkan kepada apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Jibril berdasarkan sebuah hadis yang maksudnya:

Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah. Baginda sangat pemurah khususnya dalam bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya pada setiap malam dalam bulan Ramadhan lalu bertadarus al-Quran dengan baginda".

[Hadis riwayat Bukhari]

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:

"Tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah - mereka membaca kitab Allah dan bertadarus di antara mereka - melainkan turun kepada mereka ketenangan, diliputi dengan limpahan rahmat, dilingkungi oleh para malaikat dan dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya".

[Hadis riwayat Abi Daud]

Menurut Mohd Shamsul Haqqil 'Azim, penulis kitab 'Aunul Ma'bud', maksud tadarus dalam hadis di atas ialah berkongsi membaca al-Quran di antara satu sama lain.

Jelasnya, tadarus Al-Quran adalah merupakan syiar yang diamalkan semenjak zaman awal Islam. Hasil daripada syiar inilah terbentuknya keperibadian Islam yang sebenarnya. Antara ciri-ciri keperibadian Islam adalah mempunyai akidah yang benar, ibadat yang betul, akhlak yang mulia, teratur dalam setiap urusannya, disiplin menggunakan waktu dan bermanfaat kepada orang lain.

Justeru, seseorang yang mempunyai keperibadian Islam tidak akan meninggalkan syiar tadarus ini. Ia adalah merupakan amalan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat bahkan diberikan kelebihan yang banyak oleh Allah s.w.t. Ketenangan dan limpahan rahmat daripada Allah Taala hasil daripada tadarus ini menjadikan seseorang itu mempunyai keperibadian yang istimewa dan tersendiri berbanding dengan mereka yang tidak bertadarus.

Dengan bertadarus, seseorang akan lebih rapat dengan al-Quran. Ia menjadi temannya yang akrab, menunjukkan jalan yang lurus dan menegurnya jika melakukan kesalahan. Generasi para sabahat r.a. lahir daripada keakraban ini. Bermula dengan keruntuhan akhlak dan moral sehingga digelar hidup dalam masyarakat jahiliyyah akhirnya menjadi peribadi insan yang mulia yang digelar sebagai generasi Al-Quran yang unik.

Pun begitu, bertadarus tanpa beramal dengan isi kandungan Al-Quran merupakan satu penyakit yang wujud di kalangan umat Islam yang merosakkan keperibadian muslim. Mereka tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.

Firman Allah yang maksudnya:
Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai".

[Al-Furqan: 30]

Sebagai contoh kesan daripada bertadarus al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud : "Dialah yang mengutus seorang rasul kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menyucikan (jiwa) mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (sunnah), meskipun sebelumnya, mereka benar-benar dalam kesesatan yang nyata,"

[Al-Jumu'ah: 2]

Ayat ini menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w dalam keadaan ummi iaitu tidak tahu membaca dan menulis akhirnya apabila Al-Quran diturunkan nabi membaca dan mengajar kepada sahabat-sahabatnya maka kesan daripada tindakan itu lahir satu generasi seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan Abdurrahman bin Auf. Walaupun mereka itu pada zaman jahiliyah tergolong dalam golongan yang sesat.

Oleh kerana itulah tadarus al-Quran merupakan satu amalan yang dituntut untuk diamalkan oleh seluruh umat Islam khususnya para pendokong pejuang Islam supaya memahami tuntutan Islam itu melalui Al-Quran itu sendiri.

sumber: Dewan Ulama PAS Pusat

Friday, July 29, 2011

Peristiwa Ramadhan

Kedatangan Ramadhan sentiasa mengingatkan kita kepada kejayaan-kejayaan generasi Islam yang awal. Sebagai menggambarkan betapa kekuatan umat Islam yang sebenar adalah pada iman dan komitmennya terhadap perintah Allah, bulan Ramadhan terus menggagahi mereka untuk mara menempa kecemerlangan, sama ada dalam rangka usaha menyampaikan risalah Islam ke kawasan-kawasan baru, mahu pun mempertahan diri dari ancaman musuh dan penjajahan kufar. Renungilah catatan-catatan di bawah, semoga pulih kembali semangat kita untuk bangkit mengibarkan panji Rasulullah SAW.


Pada malam Lailatul Qadar, Allah SWT menurunkan Al-Quran dari Luh Mahfudz ke Baitul ‘Izzah (Langit Pertama), Hal ini dijelaskan oleh firmanNya di dalam surah Al-Qadr. Ini berdasarkan keterangan Ibnu Abbas RA : “"Allah menurunkan Al-Quran Al-Karim keseluruhannya secara sekali gus dari Luh Mahfudz ke Baitul'Izzah (langit pertama) pada malam Lailatul Qadar. Kemudian diturunkan secara beransur-ansur kepada Rasulullah SAW sesuai dengan konteks pelbagai peristiwa selama 23 tahun."

Al-Quran seterusnya diturunkan buat kali pertama kepada junjungan mulia Rasulullah SAW oleh Jibrail AS pada bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Hijrah iaitu firman Allah SWT di dalam Surah Al-Alaq ayat 1-5. Pada tahun ke-3 sebelum Hijrah, Saidatina Khadijah RA telah kembali ke rahmatullah. Manakala pada tahun 1H, Rasulullah SAW menghantar Hamzah bin Abd Muttalib RA bersama 30 orang pengiring ke Saif Al-Bahr menyiasat 300 tentera Quraish yang berhimpun di sana. Baginda juga telah memerintahkan supaya Masjid Dhirar yang dibina oleh kaum Munafiq dirobohkan. Pada tahun2H, Zakat fitrah mula disyariatkan. 17 Ramadhan 2H Peperangan Badar Al-Kubra terjadi. Ia merupakan pertempuran besar-besaran pertama kaum muslimin menentang kufar. 5H persiapan dimulakan untuk menghadapi serangan yang kemudiannya berlaku pada bulan Syawal iaitu Peperangan Khandaq (Al-Ahzab).

Pada tahun 6H, Zaid bin Harithah RA dihantar ke Wadi Al-Qura untuk bertemu dengan Fatimah bt Rabiah, permaisuri di kawasan berkenaan. Pihaknya telah merompak rombongan Zaid RA sebelum itu. Fatimah terbunuh di bulan Ramadhan semasa berhadapan dengan tentera muslimin ini. Ramadhan 7H pula, Ghalib bin Abdullah Al-Laithi RA mengepalai 130 gerombolan tentera Islam menentang Bani 'Awâl dan Bani 'Abd bin Tha'lbah.

10 Ramadhan 8H, Nabi SAW mula melancarkan tentera untuk membebaskan Mekah dari kekufuran dan syirik, ekoran dari pencabulan perjanjian Hudaibiyah. 20 Ramadhan tahun itu, Mekah akhirnya berjaya ditawan oleh tentera Nabi SAW. Peristiwa Futuh Al-Makkah ini memberikan anjakan paradigma kepada Islam dan kekuasaannya. Sejurus selepas itu, Baginda SAW mengutus beberapa kumpulan sahabat untuk merobohkan berhala-berhala yang terkenal pada masa itu. Khalid bin al-Walid diutus merobohkan berhala al-‘Uza, Amr bin al-‘Ash merobohkan berhala Suwa’ dan Sa’d bin Zaid al-Asyhali merobohkan berhala al-Manat.

Manakala pada bulan Ramadhan tahun 9H, Baginda SAW telah pulang bersama tentera Islam daripada Peperangan Tabuk yang berlangsung selama 50 hari. Ia merupakan peperangan terakhir yang disertai oleh Baginda SAW. Delegasi Tsaqif kemudiannya bertemu dengan Nabi SAW sekembalinya Baginda SAW dari Tabuk dengan tujuan untuk menyatakan keIslaman mereka. Pada bulan itu jugaRaja Himyar tiba di Madinah untuk mengisytiharkan Islam mereka. Mereka menjadi tetamu Baginda dan Baginda menuliskan beberapa panduan tentang hak dan kewajiban mereka. Catatan ini merupakan salah satu dokumen penting di dalam sejarah perundangan Islam.

Pada tahun 10H, Baginda mengutus rombongan yang diketuai ‘Ali bin Abu Talib ke negeri Yaman dengan membawa bersamanya surat Baginda untuk penduduk Yaman, khasnya suku Hamdan yang kesemua mereka memeluk Islam dalam satu hari. Ramadhan tahun itu juga Baginda SAW telah mengasingkan dirinya selama 20 hari, tidak 10 hari sebagaimana kebiasaan yang Baginda SAW lakukan pada Ramadhan tahun-tahun sebelumnya. Ini adalah petanda utama kembalinya Baginda SAW ke rahmatullah beberapa bulan berikutnya.

Tahun 53H, pejuang Arab Islam telah berjaya menakluki pulau Rudes. 2 Ramadhan 2H, Al-Maghreeb Al-Awsath telah menerima Islam. 7 Ramadhan 89H, Daher King of Sind terbunuh. Pada tahun91H, Pejuang Islam di bawah kepimpinan Tariq ibn Ziyad mula mendarat di Selatan Andalus. 28 Ramadhan 92H, Tariq bin Ziyad dan tenteranya dapat mengalahkan King Roderic of the Visigoths di dalam satu peperangan sengit. Pada 1 Ramadhan 114H, Peperangan Balat Asy-Syuhada berlaku. Ramadhan 132H, berakhirnya pemerintahan Bani Umaiyyah. Abu al ‘Abbas dilantik sebagai khalifah al-‘Abbasiyyah yang pertama. 6 Ramadhan 222H, merupakan tarikh pembukaan Islam di kawasan Amouriah. Universiti Al-Azhar telah siap dibina pada Ramadhan 361H.Salahuddin Al-Ayyubi berjaya membebaskan Palestin dan Syam amnya dari penguasaan tentera Salib pada Ramadhan 585H. Tentera Islam pula telah berjaya mengalahkan tentera Perancis yang dipimpin oleh Louis the 9th. Louis telah dipenjarakan di Mansurah pada tahun 647H. 25 Ramadan 658H, Peperangan Ain Jalut berlaku. Saifuddin Al-Qatz berjaya mengalahkan tentera Tatar yang telah menghancurkan Baghdad daripada bergerak ke Mesir bagi menawan Kaherah. 14 Ramadhan 666H, kawasan Antakya yang menjadi pusat Kristian telah berjaya ditawan.

Sesungguhnya masih banyak lagi cacatan mengenai peristiwa-peristiwa seumpama ini yang boleh dicatatkan, terutamanya di zaman pemerintahan Khilafah Othmaniyyah sendiri. Walau bagaimana pun, apabila penggunaan kalender Islam mengalami perubahan, catatan juga telah dilakukan dengan menggunakan taqwim yang berbeza. Selepas kejatuhan Khilafah Othmaniyyah pada tahun 1924, umat Islam secara rasminya mula menggunakan kalender Gregorian dan meninggalkan kalendar Islam mahu pun kalender Othmaniyyah sendiri. Namun Insya Allah, masalah ini boleh diatasi dengan usaha gigih kita untuk mengembalikan identiti Islam di dalam segenap aspek kehidupan, individu, keluarga, masyarakat mahu pun negara.

Semoga Ramadhan kali ini dapat menjadi pemangkin yang membarakan semangat jihad di dalam diri kita. Sesungguhnya mereka yang mati dalam keadaan tidak pernah berjihad atau memasang niat untuk berjihad, maka matinya adalah di atas salah satu cabang nifaq!

sumber: http://philosophisme.blogspot.com/2007/09/peristiwa-ramadhan.html

Saturday, June 25, 2011

USTAZAH PILIHAN: Antara Realiti dan Fantasi

sumber: Laman GAMIS

Rakyat Malaysia hari ini semakin dihidangkan dengan pelbagai program realiti TV yang boleh diumpamakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Satu persatu program realiti TV diperkenalkan oleh stesen-stesen TV sama ada stesen TV percuma mahu pun stesen TV berbayar. Daripada program berbentuk hiburan seperti Akademia Fantasia dan Mentor hingga kepada program berbentuk ilmiah seperti Akademi Al-Quran dan Imam Muda.

Terbaru, satu lagi program realiti TV diperkenalkan oleh Astro Oasis yang berjudul Ustazah Pilihan yang akan memaparkan pencarian muslimah sejati merangkumi segala aspek kehidupan seperti pendidik, pembimbing dan pemimpin kaum wanita dalam masyarakat. Menerusi Ustazah Pilihan, 10 peserta yang terpilih akan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi meneruskan pembelajaran amali dan praktikal yang diperlukan sepanjang lapan minggu di akademi, yang bertujuan memantapkan pengetahuan dari aspek keagamaan, hal ehwal teknologi, kewangan, kemasyarakatan serta kekeluargaan. Mereka akan diberikan tugasan tertentu sepanjang minggu berlandaskan format kitaran kehidupan yang membabitkan isu semasa berkaitan wanita manakala pendekatan yang digunakan pula harus relevan dengan realiti wanita zaman kini, malah markah diberikan bersandarkan kedua-dua kerja iaitu hasil kerja kumpulan serta kesungguhan individu itu sendiri.

Hari ini, rancangan-rancangan televisyen yang berkonsepkan keagamaan dan ketuhanan makin mendapat tempat di hati masyarakat Malaysia khususnya umat Islam. Bukan sahaja industri lakonan yang semakin rancak dengan penghasilan filem dan drama berkonsepkan keagamaan dan ketuhanan bahkan personaliti-personaliti seni turut sama mula kembali ke jalan fitrah. Kita lihat bagaimana satu anjakan paradigma berlaku dalam hidup beberapa personaliti TV seperti Malek Nor, Bob Lokman, Sham Kamikaze, Irma Hasmie dan Catriona Ross. Malah antara yang paling mengejutkan ialah dengan kehadiran kumpulan Al-Mawleed yang terdiri daripada bekas anggota tiga kumpulan penyanyi urban terkenal iaitu Ruffedge, VE dan Innuendo yang kini beralih ke lagu-lagu berbentuk kerohanian.

Penghijrahan personaliti-personaliti terkenal tanah air diterima baik oleh masyarakat. Kita sememangnya mengharapkan nilai-nilai Islam diterapkan dalam segala aspek kehidupan termasuk dalam aspek hiburan seperti ini. Tambahan pula, realiti hari ini memperlihatkan bagaimana industri hiburan menjadi pengaruh besar kepada pemikiran dan perilaku kebanyakan masyarakat lebih-lebih lagi anak muda. Perkembangan ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat Islam lain untuk mencontohi nilai-nilai Islam yang ditunjukkan.

Lantas, apabila pertama kali mendengar hebahan Ustazah Pilihan, rasa begitu teruja untuk menonton rancangan tersebut. Title “Ustazah Pilihan” pasti menjanjikan ikon wanita muslim yang memiliki ciri-ciri pilihan seperti berilmu, berakhlak tinggi, bijak, petah berbicara dan ciri-ciri tambahan lain yang bakal melayakkan seseorang itu menjadi “Ustazah Pilihan”. Sudah terbayang di fikiran bagaimana ramainya nanti muslimah di luar sana yang akan menjadi penonton dan peminat setia rancangan Ustazah Pilihan. Pasti akan ramai juga jejaka-jejaka di luar sana turut teruja dan setia menonton wanita-wanita muslim peserta Ustazah Pilihan. Jika rancangan Imam Muda mendapat sambutan hangat daripada masyarakat muslim khususnya anak muda, saya yakin dan percaya rancangan Ustazah Pilihan akan mendapat sambutan yang jauh lebih hangat.

Pendekatan dakwah dengan memperkenalkan program Ustazah Pilihan merupakan satu alternatif yang pada awalnya dilihat mampu memberi manfaat kepada penontonnya. Pasti akan ada penonton-penonton wanita yang mula menjadikan peserta-peserta Ustazah Pilihan sebagai idola mereka, mencontohi peribadi mereka dan mula memasang angan-angan mahu menjadi seperti mereka! Tidak kurang pula penonton-penonton dari kaum Adam, pasti akan ada yang bercita-cita mahukan pasangan hidup yang mempunyai ciri-ciri seperti peserta-peserta Ustazah Pilihan yang mana antara kelayakan mereka menjadi peserta ialah berkebolehan dalam komunikasi, berilmu, berpegang kukuh kepada agama, berdaya fikir tinggi serta matang.

Jika diberi pilihan sama ada untuk membiarkan masyarakat khususnya anak-anak muda menonton rancangan Akademi Fantasia atau Ustazah Pilihan, sudah tentu kami memilih Ustazah Pilihan!

Namun begitu, jika dilihat dari satu sudut pandang yang lain, kami cukup bimbang sekiranya perlaksanaan program Ustazah Pilihan nanti tidak selari dengan syariat yang Islam tetapkan. Teori selalunya lebih mudah berbanding praktikal. Walaupun pihak penganjur mengatakan bahawa program ini akan berpaksikan hukum syarak namun sejauh mana hal ini terjamin sepanjang perlaksanaan nanti yang pastinya setiap perkara akan datang bersama ujian dan cabaran.

Kami mula mempersoalkan bagaimana agaknya penampilan peserta-peserta Ustazah Pilihan nanti. Kalau peserta Imam Muda tampil dengan imej segak dan menarik, apatah lagi kaum Hawa. Adakah wanita-wanita yang bakal menghiasi pentas Ustazah Pilihan akan berpakaian menarik walaupun menutup aurat? Yakinkah kita tidak akan terjadinya tabarruj iaitu berhias untuk memperlihatkan perhiasan badannya (mekap/gaya tudung)? Tidakkah program seperti ini secara tidak langsung akan mempertontonkan personaliti wanita? Di mana pula perasaan malu seorang wanita apabila dipertontonkan di khalayak ramai untuk dinilai, disebut-sebut kelebihannya malah dipertandingkan peribadinya sedangkan istimewanya seorang wanita itu pada sifat malunya.

Adapun bila menyebut soal kecantikan, pasti akan ada penonton rancangan Ustazah Pilihan yang memandang kepada kecantikan peserta lebih-lebih lagi penonton lelaki. Terjaminkah peserta-peserta Ustazah Pilihan tidak akan dipandang dan memandang? Sudah tentu tidak. Dan yang paling menjadi kebimbangan ialah apabila memikirkan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyebut “Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih besar yang dihadapi kaum lelaki kecuali fitnah para wanita.” (HR Bukhari dan Muslim). Tidak akan tergugatkah iman kaum Adam walaupun sedikit apabila memandang peserta-peserta Ustazah Pilihan yang berkemungkinan menjadi idaman penonton-penonton lelaki kelak? Layakkah wanita-wanita yang menjadi tontonan lelaki, yang namanya sering meniti di bibir lelaki malah yang mungkin menjadi khayalan lelaki diangkat menjadi “Ustazah Pilihan”?? Sedangkan kita tahu wanita yang baik tidak dipandang dan tidak memandang.
“Ustazah Pilihan” yang sebenar menurut pandangan kami bukanlah wanita yang hanya memiliki ilmu yang tinggi dan bakat yang luar biasa tetapi adalah wanita yang teguh aqidahnya, istiqamah ibadahnya dan mulia akhlaknya. Sebuah hadis Nabi Muhammad SAW menyatakan: Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai." (Hadis Riwayat Ahmad).

Kami suka untuk mengambil pendekatan mencegah itu lebih baik daripada merawat. Kami melihat lebih banyak mudarat (keburukan) daripada maslahat (kebaikan) yang mungkin timbul daripada program Ustazah Pilihan. Banyak lagi pendekatan dakwah yang kita boleh ambil selain daripada mempertontonkan wanita kepada umum. Jika pihak penganjur masih berhajat mahu membentuk ikon pendakwah wanita melalui landasan akademik seperti ini, kami mencadangkan agar ia dijalankan secara tertutup dan tidak bersifat pertandingan. Islam memuliakan dan menghormati wanita, maka layanilah mereka dengan adil dan benar.

Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah" (Hadis Riwayat Muslim)

Penulis adalah Syahirah Zulkifli Timbalan Majlis Dakwah Dan Kebajikan GAMIS

Thursday, June 9, 2011

Campus Life View


Anjuran NISA' Tambun. Untuk adik2 yang tinggal di sekitar Parit yang boleh datang sendiri, yuran hanya RM6.

Sunday, May 22, 2011

Takziah diucapkan kepada Mangsa Tanah Runtuh

KUALA LUMPUR: Seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat, dekat sini, hari ini.

Setakat 7 petang ini, tiga mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun dikeluarkan dari runtuhan itu manakala tujuh lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa, kata polis.
Penghuni yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa itu dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan.
Semua yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni dan pekerja. Semua penghuni rumah itu adalah lelaki.

Ketika kejadian 2.30 petang, semua penghuni rumah anak yatim itu berada di dewan serbaguna untuk persiapan satu majlis yang dijadual 5 petang.

Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus dewan serbaguna yang terletak di lereng bukit itu menyebabkan bangunan setingkat itu musnah sama sekali. Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.
"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada 6.10 petang.

Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Morni Mamat, berkata sehingga 7 petang ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat. - BERNAMA

NISA' Parit mengucapkan takziah kepada anak-anak yatim Madrasah Al-Taqwa, semoga dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama orang yang soleh. Semoga Allah memberi kekuatan kepada keluarga yang terlibat. Sesungguhnya sumber kekuatan hanyalah dari Allah.

Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka. "Ada yang bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?" Baginda menjawab; "Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita’. Hadis Riwayat Ibnu Majah.

Mari kita sama-sama renungi hadith ini dan muhasabah. Sesungguhnya setiap musibah yang Allah turunkan mengandungi hikmah dan pengajaran untuk kita.

Wallahualam.

Wednesday, May 18, 2011

Aktivis Muslimah Harapan Rasulullah


Menjadi wanita memang menyenangkan, apalagi wanita "Muslimah", sebab muslimah bererti wanita yang telah diseleksi oleh Allah untuk menerima hidayah-Nya dan menjalankan kehidupan sesuai dengan sunnah Rasul-Nya. Rasulullah sebagai manusia pilihan Allah, sangat peduli terhadap muslimah.

Baginda sangat menyayangi muslimah sehingga beliau berpesan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, "Tidaklah seorang muslim yang mempunyai anak dua orang perempuan kemudian ia berbuat baik dalam berhubungan dengan keduanya akan bisa memasukannya ke dalam surga."

Di masa baginda hidup kaum wanita merasakan angin segar dalam kehidupannya, setelah sebelumnya pada masa jahiliyah hidup teraniaya, tidak mendapatkan hak yang semestinya. Kehidupan wanita muslimah saat itu boleh dikata beruntung dibandingkan dengan wanita sekarang pada umumnya. Kerana muslimah relatif hidup dalam komuniti masyarakat yang memahami nilai Islam secara baik. Hidup mereka betul-betul tersanjung, kerana mereka merasakan hidup sesuai fitrahnya.

Berbeza dengan situasi sekarang, ketika banyak wanita menuntut persamaan hak dan darjat. Boleh dikatakan kehidupan wanita sekarang berada ditengah komuniti masyarakat yang tidak memahami nilai-nilai Islam. Ini menyebabkan keserabutan dalam hidup mereka. Sudah tentu wanita muslimah harus berupaya menghilangkan dugaan tersebut. Caranya adalah dengan mulai mengaktifkan dirinya dalam pelaksanaan nilai-nilai Islam serta berupaya mengajak wanita lain untuk beramal Islami.

Ustadz Faisal Maulawi, seorang Mufti Lebanon, menyatakan, "Saatnya sekarang keadaan ummat sedang dalam keadaan bahaya, para wanita muslimah yang solehah terjun untuk terlibat aktif dalam membentengi dan memperbaiki ummat."

Untuk menjadi muslimah yang disayang oleh Rasulullah SAW hendaknya diperhatikan empat hal berikut:

1. Faqihah Lidiiniha

Seorang muslimah hendaklah faqih (paham) terhadap din (agamanya). Selayaknya ia dapat membaca Al-Qur'an dengan baik dalam erti tajwid dan makhraj hurufnya. Kemudian dapat membaca hadits dan selalu pula menjadi bacaan hariannya, karena dengan itu ia memahami keinginan Rasulnya untuk kemudian berusaha menyesuaikan kehidupannya sesuai dengan cara hidup Rasulullah SAW.

Ia juga harus berusaha memperkaya diri dan wawasannya melalui belajar kepada seorang guru yang jujur dalam menyampaikan ilmunya, dan berusaha banyak membaca buku agama lainnya seperti tentang aqidah, akhlaq, fiqh, sirah, fiqh da'wah, Tarikh Islam, sejarah dunia dan ilmu kontemporari lainnya. Contoh muslimah yang menguasai ilmu-ilmu ini adalah Aisyah RA.

2. Najihah fi Tarbiyyati Auladiha

Seorang aktivis muslimah yang telah berkeluarga hendaklah berupaya dalam mendidik anaknya, bahkan bagi seorang aktivis yang belum berkeluarga pun seharusnya mempelajari bagaimana cara mendidik anak dalam Islam, kerana ilmu tersebut fardhu 'ain, sehingga mempelajarinya sama dengan mempelajari wudhu, sholat, puasa, dan sebagainya. Sehingga ia tahu betul cara mendidik anak dalam Islam yang nantinya anak-anak tersebut akan ia persembahkan untuk kejayaan Islam dan kaum muslimin. Insya Allah kelak ia akan menjadi Ibu yang sukses seperti Hajar dan Khadijah ra.

3. Muayyidah fi Da'wati Zaujiha

Sebagai aktivis amal Islami, kepedulian kita bukan hanya kepada masalah luaran, mengupayakan pelaksanaan amal Islam terhadap orang lain, akan tetapi kepedulian terhadap aktiviti keluarga harus lebih diutamakan, misalnya memberikan motivasi amal Islami kepada anak, pembantu, juga suami. Ia menjadi muslimah yang senantiasa menjadi motivator kebaikan suaminya, seperti Ummu Sulaim yang menikah dengan Abu Tholhah dengan mahar syahadat. Namun ketika Abu Tholhah wafat Rasulullah mensholatkannya sampai sembilan kali takbir, menunjukkan sayangnya Rasulullah kepada beliau karena tidak pernah berhenti dalam beramal dan berjihad bersama Rasul. Hal ini ia lakukan karena selalu mendapat motivasi dari Ummu Sulaim, istrinya.

4. Naafi'ah Fi Tagyiiri Biiatiha

Ia selalu peduli terhadap lingkungannya, selalu membuka mata dan telinga untuk mengetahui keadaan sekelilingnya, selalu mengupayakan lingkungannya menjadi lebih baik. Contohnya Ummu Syuraik yang selalu mengelilingi pasar bila saat sholat tiba untuk mengingatkan penghuni pasar agar segera melaksanakan sholat dengan kalimatnya yang terkenal 'Assholah, Assholah!!!'

Demikian semoga dengan empat hal ini kita dapat menjadi aktivis Muslimah yang di cintai Rasulullah SAW. Amin.

Saturday, April 23, 2011

Kepimpinan adalah amanah, bukan kebanggaan

Kepimpinan adalah institusi terpenting bagi sebuah organisasi. Tidak ketinggalan bagi sebuah Gerakan Islam seperti Parti Islam Semalaysia (PAS).

Justeru itu , ia mestilah menjadi institusi yang paling kukuh dan mantap bagi memastikan dasar perjuangan dapat direalisasikan dengan baik dan menepati objektif serta matlamat perjuangan itu pula dapat dicapai dengan cemerlang.

Menjawat atau menyandang status sebagai seorang pemimpin dipelbagai peringkat parti mestilah dengan segala keupayaan dan kelayakkan yang diiktiraf oleh syara' , berpandukan petunjuk Al - Quran dan As - Sunnah.

Kepimpinan ( Al Qiadah ) bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif).

عن أبى ذرّ قال: قلت يا رسول الله ألا تستعملنى فضرب بيده على منكبي ثم قال: " يا أبا ذرإنك ضعيف وإنها أمانة وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدّى الذي عليه فيها.

Maksudnya: Daripada Abu Zar katanya: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?”. Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya."

(Riwayat Muslim)

Berasaskan realiti ini , janganlah sesiapa dikalangan ahli parti memanjat tangga kepimpinan ini dengan gopoh dan rakus. Perhatikan bilah bilah anak tangga dengan teliti dan cermat serta melangkahlah dengan tertib agar tidak termengah dan mencederakan diri sendiri mahupun orang lain .

Apatah lagi dalam keadaan permukaan anak tangga yang licin dan mudah tergelincir. Kesabaran dan kematangan dalam mengambil langkah dan memutuskan sikap adalah dua elemen penting yang dilihat mampu memperkasakan institusi kepimpinan ini.

عن أبى موسى قال: دخلت على النبى صلى الله عليه وسلم أنا ورجلان من بني عمي فقال أحدهما: يا رسول الله أمرنا على بعض ما ولاك الله, وقال الأخر مثل ذلك فقال عليه الصلاة والسلام

"إنَّا والله لا نولِّى هذا العمل أحدا سأله أو أحدا حرص عليه

Maksudnya : Dari Abu Musa RA, Aku menemui Nabi saw. bersama dua orang lelaki dari sepupuku. Seorang dari keduanya berkata: Wahai Rasulullah, angkatlah kami sebagai pemimpin atas sebahagian wilayah kekuasaanmu yang telah diberikan Allah azza wa jalla! Yang satu lagi juga berkata seperti itu. Lalu Rasulullah saw. bersabda: Demi Allah, kami tidak akan mengangkat seorang pun yang meminta sebagai pemimpin atas tugas ini dan tidak juga seorang yang tamak utk memperolehinya .

(Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Janganlah kita menjawat atau menyandang status kepimpinan dengan pengaruh pidato atau populariti , begitu juga tidak dengan pengaruh senioriti dan downline . Sebaliknya sandanglah melalui thiqah atau kepercayaan yang diberikan oleh ahli parti berasaskan kelayakan dan keupayaan syari'e.

Thiqah ini pula bukan dibina melalui penonjolan imej dan pembiayaan komunikasi kita dengan ahli ( kerana ia boleh dilakunkan aksinya menjelang muktamar yang ada pemilihan ) tetapi thiqah lahir dari kesungguhan berjuang dan keikhlasan berkorban . Bertunjang pula di atas ketaqwaan yang tinggi dan Himmah yang berwibawa.

Memberi laluan kepada yang layak memimpin dalam keadaan kita adalah calon popular adalah jauh lebih bermaruah daripada kita terus menandingi jawatan kepimpinan tersebut. Tidak memegang jawatan bukanlah bermakna kita tidak boleh menyumbang kepada Islam dan parti yang memperjuangkannya.

Demikian juga mengambil tanggungjawab sebagai seorang pemimpin setelah mendapat thiqah dari ahli dan jamaah adalah mempamerkan ia sebagai seorang pemimpin yang ada kesungguhan berjuang dan himmah yang berwibawa.

Muktamar parti adalah medan untuk bermuhasabah , mengatur strategi , memperkasakan dalaman parti , membina kader dan memberi amanah kepada yang berhak dan layak . Muktamar jangan sekali kali dijadikan papan percaturan politik peribadi dan kelompok yang sangat dinilai hina oleh syara' .

Perwakilan semestinya matang menilai dan memilih saf kepimpinan yang akan menerajui parti mengharungi badai perjuangan membelah episod cabaran baru dunia global hari ini.

Tidak didorong oleh sebarang sentimen yang asing dari apa yang kita pelajari melalui skima pentarbiyyahan parti , yang kita timba selama ini melalui usrah dan kuliah haraki di pelbagai peringkat.

Calon kepimpinan pula tidak meminta diundi atau dipilih dengan pelbagai penampilan dan lobi yang tidak berasaskan keupayaan dan kelayakkan sebenar. Justeru ia hanyalah hipokritisme yang akan merosakkan parti dan dirinya sendiri.

عن عبد الرحمن بن سمرة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم " يا عبد الرحمن لا تسأل الإمارة فإنَّك إن أوتيتها عن مسألة وكلت إليها وإن أعطيتها من غير مسألة أعنت عليها

Maksudnya: Daripada Abdul Rahman bin Samurah, daripada Nabi SAW sabdanya: “Wahai ‘Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau dibebankan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah)

(Riwayat Bukhari dan Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Nasaie dan Ahmad)

Semoga muktamar PAS tahun ini , yang akan berlansung di Taman Melewar Gombak dan Shah Alam Selangor [Dewan - Dewan] akan menjanjikan satu muktamar yang bukan sahaja meriah pada sambutannya tetapi juga dilihat hebat dan perkasa menggarap perjalanan parti .

salam perjuangan dari saya

Nasrudin bin Hj Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Monday, March 21, 2011

Etika pergaulan dan batas pergaulan di antara lelaki dan wanita


Etika pergaulan dan batas pergaulan di antara lelaki dan wanita menurut Islam.

1. Menundukkan pandangan: ALLAH memerintahkan kaum lelaki untuk menundukkan pandangannya, sebagaimana firman-NYA; Katakanlah kepada laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (An-Nuur: 30)

Sebagaimana hal ini juga diperintahkan kepada kaum wanita beriman, ALLAH berfirman; Dan katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya. (An-Nuur: 31)

2. Menutup Aurat; ALLAH berfirman dan jangan lah mereka mennampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan kain tudung ke dadanya. (An-Nuur: 31) Juga Firman-NYA; Hai nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: Hendaklah mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka.

Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah dikenali, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan ALLAH adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (An-Nuur: 59).

Perintah menutup aurat juga berlaku bagi semua jenis. Dari Abu Daud Said al-Khudri .a. berkata: Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seseorang lelaki memandang aurat lelaki, begitu juga dengan wanita jangan melihat aurat wanita.

3. Adanya pembatas antara lelaki dengan wanita; Kalau ada sebuah keperluan terhadap kaum yang berbeza jenis, harus disampaikan dari balik tabir pembatas. Sebagaimana firman-NYA; Dan apabila kalian meminta sesuatu kepada mereka (para wanita) maka mintalah dari balik hijab. (Al-Ahzaab: 53)

4. Tidak berdua-duaan Di Antara Lelaki Dan Perempuan; Dari Ibnu Abbas .a. berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seorang lelaki berdua-duaan (khalwat) dengan wanita kecuali bersama mahramnya. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Dari Jabir bin Samurah berkata; Rasulullah SAW bersabda: Janganlah salah seorang dari kalian berdua-duan dengan seorang wanita, kerana syaitan akan menjadi ketiganya. (Hadis Riwayat Ahmad & Tirmidzi dengan sanad yang sahih)

5. Tidak Melunakkan Ucapan (Percakapan): Seorang wanita dilarang melunakkan ucapannya ketika berbicara selain kepada suaminya. Firman ALLAH SWT; Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara (berkata-kata yang menggoda) sehingga berkeinginan orang yang ada penyakit di dalam hatinya tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik. (Al-Ahzaab: 32)

Berkata Imam Ibnu Kathir; Ini adalah beberapa etika yang diperintahkan oleh ALLAH kepada para isteri Rasulullah SAW serta kepada para wanita mukminah lainnya, iaitu hendaklah dia kalau berbicara dengan orang lain tanpa suara merdu, dalam pengertian janganlah seorang wanita berbicara dengan orang lain sebagaimana dia berbicara dengan suaminya. (Tafsir Ibnu Kathir 3/350)

6. Tidak Menyentuh Kaum Berlawanan Jenis; Dari Maqil bin Yasar .a. berkata; Seandainya kepala seseorang ditusuk dengan jarum besi itu masih lebih baik daripada menyentuh kaum wanita yang tidak halal baginnya. (Hadis Hasan Riwayat Thabrani dalam Mujam Kabir) Berkata Syaikh al-Abani Rahimahullah; Dalam hadis ini terdapat ancaman keras terhadap orang-orang yang menyentuh wanita yang tidak halal baginya. (Ash-Shohihah 1/44 Rasulullah SAW tidak pernah menyentuh wanita meskipun dalam saat-saat penting seperti membaiat dan lain-lainnya. Dari Aishah berkata; Demi ALLAH, tangan Rasulullah tidak pernah menyentuh tangan wanita sama sekali meskipun saat membaiat. (Hadis Riwayat Bukhari)

Inilah sebahagian etika pergaulan lelaki dan wanita selain mahram, yang mana apabila seseorang melanggar semuanya atau sebahagiannya saja akan menjadi dosa zina baginya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW; Dari Abu Hurairah .a. dari Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ALLAH menetapkan untuk anak adam bahagiannya dari zina, yang pasti akan mengenainya. Zina mata dengan memandang, zina lisan dengan berbicara, sedangkan jiwa berkeinginan serta berangan-angan, lalu farji yang akan membenarkan atau mendustakan semuanya. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & Abu Daud)

Padahal ALLAH SWT telah melarang perbuatan zina dan segala sesuatu yang boleh mendekati kepada perbuatan zina. Sebagaimana Firman-NYA; Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan jalan yang buruk. (al-Isra: 32)

sumber : sini

Wednesday, March 16, 2011

Program Beauty In You

Jom ramai-ramai datang ke program "Beauty In You" anjuran Nisa' Perak bersama Nisa' kawasan di Dewan Persekutuan Seruan Islam Ipoh (belakang Pusat rawatan Arridzuan-berhampiran hotel Casuarina) pd 19 Mac 2011.
Ada slot kesihatan wanita tentang kanser serviks dan payudara
Personaliti bersama Waheeda Wassini, Demo Facial
dan banyak lagi.....
MASUK PERCUMA
50 terawal akan menerima hadiah misteri...
LUCKY Draw turut disediakan...
JOm JOm...Datang jgn tak datang!!!

Tuesday, March 15, 2011

Solat Berjemaah Satu Tuntutan

Petikan ini diambil dari website Solat Cara Nabi SAW

Solat Berjamaah Satu Tuntutan

Solat berjemaah pada masa kini didalam masyarakat kita hanya dijadikan sebagai upacara sempenaan tertentu sahaja seperti ada majlis-majlis rasmi dan keramaian atau dijadikan acara mingguan dan tahunan sahaja seperti solat jumaat dan hari raya. Persoalaannya kenapa kebanyakkan dari kalangan kita orang Islam memandang remeh hal solat berjamaah serta beranggapan ianya tidak penting?

Kepentingan solat lima waktu sememangnya diketahui umum oleh kita semua umat Islam, sehingga ia diletakkan pada kedudukan kedua dalam rukun Islam selepas mengucap dua kalimah syahadah dan disebut sebagai tiang agama.

Begitupun, keadaan umat Islam pada zaman ini yang sebahagiannya didapati sengaja mencuaikan perintah Allah ini, apatah lagi untuk menunaikannya secara berjemaah, adalah suatu hakikat yang amat menyedihkan hari ini.

Solat berjemaah pada masa kini didalam masyarakat kita hanya dijadikan sebagai upacara sempenaan tertentu sahaja seperti ada majlis-majlis rasmi dan keramaian atau dijadikan acara mingguan dan tahunan sahaja seperti solat jumaat dan hari raya. Persoalaannya kenapa kebanyakkan dari kalangan kita orang Islam memandang remeh hal solat berjamaah serta beranggapan ianya tidak penting? Sedangkan lambang kesatuan dan kekuatan umat Islam terletak didalam satu barisan bermula dari solat berjamaah.

Firman Allah SWT dalam surah al-Shaff ayat 4 :
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela agamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh.
Tanggapan bahawa solat berjemaah tidak penting adalah sangkaan yang salah dan bertentangan dengan perintah Allah SWT,
sebagaimana firman Nya dalam surah al-Baqarah ayat 43 :
Maksudnya: dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang Yang rukuk.
Maksud suruhan rukuk bersama orang-orang yang rukuk dalam ayat di atas, ialah suruhan supaya solat-solat fardhu itu dilakukan secara berjamaah.

Dalam ayat lain menjelaskan bertapa dituntutnya solat berjemaah sekalipun pada masa peperangan kita dituntut melaksanakannya. Perkara ini boleh dilihat dalam surah an-Nisaa ayat 102 Firman Nya :
Maksudnya: dan apabila Engkau (Wahai Muhammad) berada Dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu Engkau mendirikan sembahyang Dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak Yang lain (yang kedua) Yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing.

Maksud dari ayat di atas dapat difahami bahawa Allah SWT menjelaskan kepada kita tuntutan dan cara melakukan solat fardhu berjamaah pada masa peperangan. Jika solat fardhu dalam masa peperangan dituntut supaya dilakukan secara berjamaah, maka tuntutan solat fardhu supaya dilakukan secara berjamaah dalam suasana aman damai adalah lebih dituntut dan diutamakan.

Tuntutan solat fardhu lima waktu secara berjemaah ini adalah sunnah Nabi SAW yang sewajibnya kita sambut dan ikuti bukan hanya menyambut hari kelahiran Baginda SAW setiap tahun sedangkan sunnahnya tidak disambut dan diikuti. Malangnya, apa yang diperintah dan dituntut oleh Rasul tidak diikuti dan diamalkan, malah apa yang tidak diperintah pula yang dilakukan. Inilah yang mengundang musibah dan bala daripada Allah terhadap umat-umat yang terdahulu.

Nabi SAW memberi ancaman yang keras terhadap kaum lelaki yang selalu meninggalkan solat berjemaah dengan sengaja tanpa uzur syarei, sebagaimana sabda baginda SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah RA bermaksud:
“Seberat-berat solat ke atas golongan munafiq ialah solat `Isya’ dan solat Subuh. Jika mereka tahu kelebihan pada kedua-dua solat tersebut, tentu mereka akan menunaikannya (secara berjemaah) walaupun dengan cara merangkak (ke tempat solat).

Sesungguhnya aku berhasrat (disatu masa) memerintah (sahabat-sahabat) menunaikan solat (fardhu secara berjemaah) dengan memerintah seorang lelaki bersolat (menjadi imam) bersama-sama sahabat (yang hadir), kemudian aku akan keluar dengan sekumpulan lelaki bersama seberkas kayu api untuk mencari mereka yang tidak menunaikan solat fardhu (secara berjemaah) maka aku akan bakar rumah-rumah mereka.”

Bertapa penting dan besar kedudukan solat fardhu lima waktu secara berjemaah disisi Islam, sehinggakan ianya diberi kelebihan pahala dua puluh tujuh kali ganda bagi orang yang bersolat secara berjemaah daripada bersolat bersendirian, sebagaimana dalam sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar ra bermaksud: “solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda pahala”

Marilah kita beramai-ramai menunaikan solat fardhu lima waktu secara berjemaah dimana sahaja kita berada, sama ada di pejabat, di pasaraya, di sekolah, taman rekreasi dan yang paling utama solat berjemaah ini dilakukan di masjid.

Solat berjemaah adalah lambang kekuatan dan keutuhan umat Islam serta cahaya keimanan mereka. Tanda kelemahan kesatuan umat Islam serta malap keimanan mereka adalah bilamana mereka meninggalkan solat secara berjemaah. Diantara perbezaan seorang muslim yang sejati dan munafik adalah pada solat mereka.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 142:
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka Dalam keadaan munafik). Apabila mereka hendak berdiri sembahyang, mereka berdiri dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka Bahawa mereka orang Yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang sekali).

CUBA kita perhatikan, berapa ramai masyarakat Melayu Islam yang menjaga solatnya 5 waktu sehari semalam? Berapa ramai pula yang solat fardu secara berjemaah di rumah mahupun di tempat kerja / belajar? Bayangkan, di dalam sebuah rumah milik sebuah keluarga yang besar; ramai ahli keluarganya.
Tetapi, apabila tiba waktu solat semuanya solat secara berasingan di bilik masing-masing. Tidakkah terasa rugi? kerana, selain fadhilat-fadhilat solat berjemaah di atas, kita juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim serta menambahkan kasih sayang dalam keluarga.. Tidak percaya, cubalah.. Anda yang harus memulakannya jika tiada siapa yang memulakannya..InsyaAllah keluarga bertambah bahagia jika mengamalkan syariat Islam dengan sempurna bersama-sama~ Semoga sentiasa berada dalam keredhaan Allah..