Wednesday, December 22, 2010

Friday, October 22, 2010

10 Perkara yang mendatangkan Cinta Allah


Wahai sahabat-sahabatku,setiap orang pasti ingin mendapatkan kecintaan Allah. Lalu bagaimanakah cara untuk mendapatkan kecintaan tersebut? Ibnul Qayyim rahimahullah menyebutkan beberapa hal untuk mendapatkan maksud tadi dalam kitabnya yakni Madarijus Salikin.

Pertama, membaca Al Qu'ran dengan merenungi dan memahami maknanya. Hal ini boleh dilakukan sebagaimana seseorang memahami sebuah buku yaitu dia menghafal dan harus mendapat penjelasan terhadap isi buku tersebut. Ini semua dapat dilakukan untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh si penulis buku.[ Maka begitulah yang dapat dilakukan terhadap Al-Qur'an]

Kedua, mendekatkan diri kepada Allah dengan mengerjakan ibadah yang sunnah, setelah mengerjakan ibadah yang wajib. Dengan inilah seseorang akan mencapai tingkat yang lebih mulia yaitu menjadi orang yang mendapat kecintaan Allah dan bukan hanya sekadar menjadi seorang pencinta.

Ketiga, terus-menerus mengingat Allah dalam setiap masa, baik dengan hati dan lisan atau dengan amalan dan kieaddaan dirinya. Ingatlah, kecintaan Allah akan diperoleh sekadar dengan keadaan dzikir kepadaNya

Keempat, lebih mendahulukan kecintaan pada Allah daripada kecintaan pada dirinya sendiri ketika dia dikuasai hawa nafsunya. Begitu pula dia selalu ingin meningkatkan kecintaan kepadaNya. walaupun harus menempuh berbagai kesulitan.

Kelima, merenungi, memperhatikan dan mengenal kebesaran nama dan sifat Allah. begitu pula hatinya selalu berusaha memikirkan nama dan sifat Allah tersebut berulang kali. barangsiapa mengenal Allah dengan benar melalui nama, sifat dan perbuatan-Nya, maka pasti dia mencintai Allah. Oleh kerana itu, mu'athilah, fir'auniyah, jahmiyah (yang kesemuanya keliru dalam memahami nama dan sifat Allah) jalan mereka dalam mengenal Allah telah terputus (kerana mereka menolak nama dan sifat Allah tersebut)

Keenam,memperhtikan kebaikan, nikmat dan kurnia Allah yang telah Dia berikan kepada kita, baik nikmat lahir maupun batin. Inilah faktor yang mendorong untuk mencintai-Nya.

Ketujuh, inilah yang begitu istimewa iaitu menghadirkan hati secara keseluruhan tatkala melakukan ketaatan kepada Allah degan merenungkan makna yang terkandung dalamnya.

Kelapan, menyendiri dengan Allah di saat Allah turun ke langit dunia pada sepertiga malam yang terakhir untuk beribadah dan bermunajat kepada-Nya serata membaca kalam-Nya (Al Qur'an). Kemudian mengakhirinya dengan istighfar dan taubat kepada-Nya.

Kesembilan, duduk bersama orang-orang yang mencintai Allah dan bersama para shidiqin. Kemudian memetik perkataan mereka yang sperti buah yang begitu nikmat. kemudian dia pun tidaklah mengeluarkan kata-kata kecuali apabila jelas maslahatnya dan diketahui bahawa dengan perkataan tersebut akan menambah kemanfaatan baginya dan juga bagi orang lain.

Kesepuluh, menjauhi segala sebab yang dapat menghalang atara diri kita dengan Allah Ta'ala.

Semoga kita sentiasa mendapat kecintaan Allah, itulah yang seharusnya dicari oleh setiap detak jantung dan setiap nafasnya.

"Ibnul Qayyim mengatakan bahawa kunci untuk mendapatkan itu semua adalah dengan mempersiapkan jiwa (hati) dan membuka mata hati"



_____________________________________________________________________________________

Sumber : Madaarijus Saalikin, 3/ 16-17, Ibnu Qayyim Al Jauziyah, terbitan Darul Hadits Al Qohiroh, di susun dan diterjemah dari http://rumaysho.com

Saturday, July 24, 2010

SUMBANGAN UNTUK GOLONGAN MISKIN
Atas dasar keperihatinan dan rasa simpati terhadap golongan miskin, Nisa' Parit dengan
kerjasama Pertubuhan Kebajikan wanita Daerah Perak Tengah (PEKANITA) akan menyampaikan sumbangan kepada golongan miskin kawasan Parit,
Pada 31 Julai 2010.
Oleh yang demikian, Nisa'Parit mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak bagi menjayakan program ini.
SUMBANGAN BOLEH DISALURKAN SEBELUM 31 JULAI 2010
MELALUI AKAUN BIMB (PEKANITA) 08086010008264
Semoga dengan sumbangan yang dihulurkan dapat mengurangkan beban mereka.

Monday, May 10, 2010

Belia dan Politik

Dipetik dari sini.

Apabila saya menyebut belia, saya maksudkan golongan yang berumur antara 17 hingga 40 tahun. Manakala definisi politik yang saya gunapakai ialah proses di mana sekumpulan manusia membuat keputusan kolektif. Perkataan ini berasal dari bahasa Greek yang bermaksud urusan negara. Walaupun politik begitu sinonim dengan proses kenegaraan atau kerajaan sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan daripada kita, saya cuba bawakan definisi lebih luas yang merangkumi aspek hubungan sosial dalam pelbagai institusi kemasyarakatan yang dibentuk dari sel-sel yang merupakan individu atau rakyat perseorangan. Maksud politik yang ingin saya huraikan juga jauh dari politik kepartian yang mendominasi persada negara kita buat masa ini.

Hakikatnya, tahap kepedulian golongan belia Malaysia terhadap politik berada pada tahap yang sangat rendah. Salah satu indikator yang menyokong fakta tersebut ialah statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan 4.39 juta atau 28 peratus rakyat negara kita yang berkelayakan masih belum mendaftar sebagai pengundi dan majoritinya adalah terdiri dari golongan muda. Dan anda mungkin merupakan salah seorang daripada mereka!

Bagi mengupas isu ini secara adil dan tepat, skop perbincangan perlu diperluas kerana saya berpendapat mendaftar sebagai pengundi cuma merupakan salah satu indikator kepedulian belia terhadap politik, namun bukan tanda aras sebenar. Malah para belia dan telah berdaftar dan membuang undi dalam setiap pilihanraya sekalipun tidak bermakna mereka benar-benar memahami, menghargai dan mengambil berat tentang politik serta pelbagai isu sekitarnya.

Antara indikator lain yang ingin saya bawakan ialah penglibatan anak-anak muda dalam pesatuan-persatuan belia di Malaysia. Statistik menunjukkan bahawa hanya 2.9 peratus golongan belia yang menyertai dan bergiat aktif di dalam persatuan belia atau badan bukan kerajaan (NGO) di negara kita. Golongan belia selebihnya saya bahagikan kepada dua. Yang pertama ialah belia-belia yang mengisi statistik keruntuhan moral kronik yang melanda negara seperti lumba haram, seks bebas, dadah, gengsterisme, jenayah juvana, hiburan melampau dan banyak lagi. Manakala golongan kedua ialah generasi muda yang duduk berdiam diri dengan agenda kehidupan masing-masing tanpa memperdulikan masyarakat sekeliling.

Tanpa perlu pergi lebih jauh, cuba anda perhatikan realiti di kawasan setempat anda. Berapa ramaikah para belia yang terlibat dengan institusi kemasyarakatan setempat seperti Ahli Jawatankuasa (AJK) surau dan masjid, persatuan-persatuan penduduk serta badan-badab kebajikan dan sukarelawan masyarakat lainnya. Kemungkinan besar, jari-jemari di tangan anda sudah cukup untuk menghitungnya! Kita belum berbicara tentang memegang jawatan-jawatan utama dalam mewakili rakyat setempat di arena politik tanahair. Jika institusi kecil masyarakat pun dipandang sepi, apatah lagi tangungjawab dan kedudukan yang lebih tinggi untuk memacu pentadbiran dan pembangunan negara.

Di mana silapnya?

Memahami tabiat golongan belia dan percaturan politik setempat merupakan pra-syarat kepada pemahaman yang tepat kepada punca kemelut ini. Secara ringkas, saya dapat simpulkan punca utama kepada komplikasi ini ialah hilangnya jatidiri dan karakter dalam diri anak-anak muda kita hari ini. Mereka kehilangan identiti diri, kabur matlamat hidup, hanyut dibawa arus deras hedonisme serta hilang sokongan sosial masyarakat sekeliling. Akhirnya mereka hanya mampu mengisi statistik-statistik keruntuhan moral yang saya sebutkan sebelum ini. Jika diri sendiri pun tidak mampu dipimpin, apalagi yang mahu diharapkan daripada mereka?

Namun, masih ada sebilangan kecil belia yang bernasib baik. Mereka berperibadi bersih, berpendidikan tinggi dan mempunyai status sosial yang baik. Tetapi permasalahan lain pula yang melanda. Pertama, matlamat hidup yang berbentuk individualisme dan meminggirkan sumbangan kepada agama dan negara. Kedua, pendedahan dan kefahaman yang dangkal tentang konsep politik dan aplikasinya. Selain itu, generasi belia hari ini juga tidak memahami kepentingan politik dalam membangunkan agenda bangsa dan agama.

Secara realiti, ketika di bangku sekolah, perihal politik langsung tidak diendahkan kerana pada persepsi mereka politik merupakan urusan ‘orang-orang dewasa'. Malah ketika mula berkecimpung dalam alam universiti atau kolej, sistem politik kampus yang persis politik kepartian negara ternyata menyebabkan mereka kecewa dan mengambil langkah mengundurkan diri. Setelah berkerjaya, kesibukan kerja dan pengurusan keluarga menjadikan mereka terus jauh dari terlibat dengan masyarakat setempat dan politik secara amnya.

Dapat simpulkan bahawa kehendak dan hasrat golongan ‘emas' ini yang tidak mampu ditampung oleh sistem politik tempatan semasa menjadi punca utama. Lantas lahirlah golongan belia yang berpendapat bahawa politik tidak ada kaitan langsung dengan kehidupan mereka. Mereka turut merasakan bahawa ahli politik yang dilantik tidak mampu mewakili hasrat dan agenda generasi muda disebabkan jurang umur, status ekonomi dan latar belakang pendidikan yang ketara.

Pelbagai usaha termasuk oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 1985 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia, perlaksanaan dokumen PBB, Plan of Action for Youth Programmes for the Year 2000 and Beyond, Dasar Pembangunan Belia Negara (1997), Program Belia Komanwel (1998) dan Persidangan Pertama Menteri Belia SeDunia (1998) ternyata tidak banyak mengubah fenomena pembangunan belia serta penglibatan mereka dalam menyumbang terus kepada masyarakat dan negara.

Jadi, apakah masa depan belia negara dalam menggarap politik setempat? Ya, sudah tentu ianya banyak bergantung kepada peranan bersama institusi keluarga, sistem pendidikan, media massa, badan-badan bukan kerajaan, serta kerajaan sendiri untuk membina jatidiri generasi muda serta mengurangkan kalau tidakpun menutup terus jurang antara golongan ini dan arena politik itu sendiri. Pemahaman politik yang jelas serta perlaksanaannya dalam bentuk yang sihat perlu diterapkan kepada golongan muda demi memastikan penglibatan mereka yang lebih proaktif dan agresif dalam arena ini.

jangandiam

Sebagai contoh, pengalaman peribadi saya menghadiri Konvensyen Pemikiran Hasan Al Banna Dalam Melakar Sejarah Bangsa anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ternyata memberikan pengalaman yang berharga. Melalui pemerhatian kasar saya, lebih 80 peratus daripada peserta konvensyen yang membincangkan perihal politik tanahair merupakan golongan belia terutamanya para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta. Walaupun, kehadiran satu program ini tidak mencerminkan keadaan keseluruhan belia negara, saya tetap optimis ianya merupakan suatu petanda baik yang perlu disuburkan demi melihat peranan yang lebih besar dimainkan oleh golongan belia dalam arena politik negara. Lebih banyak program-program seumpama ini serta aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat, kesukarelawanan, kursus-kursus kepimpinan dan jatidiri perlu dianjurkan bagi mendidik generasi muda kita asas-asas politik sebelum mereka berkecimpung dalam bidang politik yang lebih mencabar.

Penulis: Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad.
(Pengerusi PEMBINA Melaka)

Wednesday, May 5, 2010

Salah Faham: Judging a Book by its Cover



Ungkapan ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.

"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya memberi buah fikirannya.

"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita ini lagi.

Benarkah hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)

Simpati bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.

Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan,

lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu"

Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang"

Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ? Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya? Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata.

Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :
"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.

Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'. Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith Ertinya : "Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka"
(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )

Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.



Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW Ertinya : "Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )

Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik? setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya?.

Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya?


Penulis: Ustaz Zaharuddin

Friday, April 23, 2010

Konsert Aura Ungu 2010


(click untuk besarkan image)

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://kau2010.webnisa.net

Wajibkah pakai telekung?


“Telekung surau ni kotor laa..camne nak semayang,”
“Saya lupa bawa telekung, nanti saya qada’ aje solat bila sampai rumah,”
Skrip biasa, terutamanya di shopping complex.
Sepertinya solat itu tidak penting, boleh saja diqada’-qada’.
Yang lebih penting adalah telekungnya. Tiada telekung, tak boleh solat!
Begitukah?

Jika diamati syarat sah solat, cuma 5 perkara:

* Yakin telah masuk waktu
* Menutup aurat
* Mengadap kiblat
* Suci daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat
* Suci daripada hadas kecil dan hadas besar

Tercari-cari juga, tiada pula dalam list – Wajib memakai telekung.
Jadi, wajibkah?
Mengapa hendak dipersulit dan diperberatkan hukum-hakam Islam yang sebenarnya cukup mudah dan simple.
“Dan tidaklah Allah jadikan bagi kalian dalam agama ini kesulitan.”
[ Al-Hajj : 7]

Yang pentingnya dalam soal berpakaian ketika bersolat ialah menutup aurat dan bersih daripada najis. Apa sahaja pakaian kita, jika memenuhi 2 syarat tersebut, maka tidak perlulah ragu-ragu lagi.

Telekung cuma adat, bukan syarat. Majoritinya, hanya wanita-wanita di benua Nusantara yang mengamalkan adat ini. Sememangnya tidak salah bertelekung, malah sangat baik sebenarnya, kerana lebih sopan dan selesa. Cuma jika ia dijadikan sandaran yang akan mencacatkan solat kita, maka itulah prinsip yang salah.

Pilihlah mengikut keselesaan dan yang mana lebih mudah. Jika merasakan bertelekung lebih mudah, maka itulah yang terbaik. Bagi saya sendiri, jika solat sehari-harian di rumah atau di kolej, saya lebih selesa bertelekung. Cuma apabila dalam keadaan tergesa-gesa atau berpergian, maka pakaian yang ada sahaja sudah amat memadai. Yang penting, cukup syarat.


“Eh, betul ke ni.. Nampak pelik la kalau tak pakai telekung. Macam tak sempurna je tutup auratnya..”

Untuk persoalan sebegini, mungkin perlu ditanya kembali diri kita. Jika kita merasakan pakaian kita itu tidak cukup sempurna untuk bersolat, jadi, adakah kita sekarang ini tidak menutup aurat..?

Wednesday, April 14, 2010

Muslimah sebagai Isteri dan Ibu dalam Perjuangan Islam

http://muslimat-ampang.org/tarbiyah/


Wanita Islam taat kepada suaminya bukanlah kerana didorong oleh perasaan rendah diri atau terpaksa, tetapi ia diterima dengan ikhlas hati dan suami diletakkan sebagai pembimbing terbaik. Asma binti Yazid seorang wanita Ansar yang mahsyur, terkenal kerana kepetahan berbicara telah mengetuai beberapa orang wanita untuk memberitahu Rasulullah s.a.w akan kekecewaan mereka kerana kelebihan ganjaran kepada lelaki. Beliau mempersoalkan bahawa lelaki mempunyai peluang lebih untuk mendapat pahala melalui solat jumaat, solat jamaah, menziarahi orang sakit, menghantar jenazah dan melibatkan diri dalam jihad. Sedangkan kaum muslimah tidak dapat melibatkan diri secara sepenuhnya ke dalam amalan-amalan tersebut. Rasulullah s.a.w memberikan jawapan yang sangat mudah tetapi mempunyai makna yang sangat tinggi, iaitu jika wanita tersebut menyintai suaminya, menggembirakannya dan mentaatinya, ia juga akan menerima ganjaran yang sama seperti yang di dapati oleh lelaki.

Seorang isteri yang beragama Islam amat mengambil berat akan kesihatan jiwa suaminya di samping menjaga keselesaan hidupnya. Muslimah mesti menjadi pendorong dan penyokong dalam perjuangan suaminya. Berkorban apa saja demi perjuangan Islam. Janganlah isteri pejuang Islam menjadi sebab kepada gugurnya suami dari medan perjuangan Islam. Janganlah memberatkan suami dengan perkara remeh-temeh. Jika boleh, urusan yang dapat diselesaikan sendiri, selesaikanlah secara sendiri. Mereka juga hendaklah melatih diri sebagai isteri yang cekap dalam pengurusan rumahtangga, mempunyai keyakinan diri dan mempunyai matlamat hidup ke arah melahirkan generasi Al-Quran.

Ummu Sulaim biti Malhan ibu kepada Anas bin Malik mempunyai anak lelaki yang sakit tenat. Sedang suaminya solat Asar di masjid, anak mereka meninggal dunia. Ia tidak memanggil suaminya, sebaliknya menunggu sehinggalah suaminya pulang. Ketika pulang, suaminya membawa beberapa orang teman. Ummu Sulaim menahan dirinya dan menyediakan makanan untuk tetamunya. Kemudian apabila ditanya oleh suaminya akan kesihatan anaknya, ia menjawab lebih sihat dari sebelumnya. Tetapi setelah keadaan tenang, barulah diberitahu keadaan yang sebenarnya. Demikianlah contoh seorang isteri dan ibu yang tenang dalam menghadapi keadaan yang gawat.

Wanita Islam juga mestilah sentiasa berhati-hati dalam memilih calon suami. Janganlah jadikan alasan suami membuatkan muslimah berundur selangkah demi selangkah dari medan perjuangan Islam. Pilihlah calon suami yang bakal menjadi pendorong dan sumber inspirasi dalam perjuangan Islam. Suami yang dapat memberi kerjasama dalam rumahtangga dan perjuangan Islam. Ibarat kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sebagaimana Ummu Sulaim enggan menerima lamaran Abu Talhah kerana ia masih percaya kepada jahiliyyah. Ia menyuruh Abu Talhah meninggalkan alam jahiliyyah dan memeluk agama Islam. Gesaan ini memberi kesedaran kepada Abu Talhah dan akhirnya memilih Islam dan Ummu Sulaim.

Ketaatan kepada Islam menjadikan wanita Islam ibu yang baik. Ia mendidik anak-anak dengan kecenderungan yang berpandukan kepada nilai-nilai Islam. Sikap keibuan bagi seorang wanita adalah punca utama melahirkan akhlak yang baik kepada anak-anak. Sebagai seorang ibu yang terlibat dalam harakah Islamiyyah, seawajarnya mereka menjelaskan kepada anak-anak tentang penglibatan mereka tersebut, yakni tuntutan terhadap mengintimakan (menyertai) jamaah Islam, supaya anak-anak mereka faham kegiatan-kegiatan ibu mereka yang mungkin sedikit sebanyak menjejaskan peranan mereka sebagai ibu di dalam dunia rumahtangga. Muslimah seharusnya menanamkan sifat berdikari kepada anak-anak mereka sejak kecil.

Begitu juga mereka sewajarnya menjadi seorang ibu yang dapat meniup roh perjuangan Islam ke dalam diri anak-anak. Seharusnya ibu-ibu muslimah sentiasa mendedahkan kepada anak-anak setiap aktiviti dalam kegiatan harakah. Anak-anak patut dibawa bersama-sama menghadiri rehlah, perkhemahan, jambori amal, ceramah dan muktamar mahu pun lain-lain program parti dan jamaah.

Monday, March 22, 2010

Gambar sekitar Kem Survival Nisa'

Peserta yang hadir melebihi 50 orang
Ucapan perasmian oleh Ustazah Fasiha

Berkerjasama memasang khemah

"cantiknya card nama ni"

Fasilitator sedang menghiburkan peserta

" Cantik tak fesyen pakaian muslimah kami?"

Wajah ceria ketua Muslimat dan ketua Nisa'

Wajah gembira + penat AJK Kem survival Nisa'

Kecomelan wajah-wajah Facee
Makcik Anum ajar buat karipap

Menilai kumpulan yang mem'kelim' karipap yang kemas dan cantikMalam persembahan

Ucapan penutup dari Dr Najihah


Kem Survival Nisa' memang Best!!!!!!

Terima kasih kepada AJK2, Muslimat2, para penaja yang bertungkus lumus menjayakan program Nisa'. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kalian bagi mendidik anak-anak remaja menjadi generasi mukminah yang solehah. Moga adik-adik peserta tidak lupakan warga Nisa' dan kami dengan lapang dada menerima adik-adik sebagai ahli Nisa' yang baru. Jumpa lagi di program yang akan datang.

Wednesday, March 10, 2010

Maklumat Kem Survival Nisa'


Pengenalan

Kem Survival Nisa’ ini dianjurkan khusus untuk remaja muslimat sebagai salah satu inisiatif dalam melahirkan generasi muslimat yang berkualiti dari pelbagai sudut terutamanya keagamaan, akhlak dan kepimpinan. Program ini insyaAllah bakal menyediakan aktiviti-aktiviti menarik dan bermanfaat selari dengan objektif yang telah dirangka.

Tema
We Are Smart Solehah!

Objektif
  • Memberi kesedaran akan kepentingan penghayatan agama dan akhlak dalam diri seorang muslimat.
  • Membentuk keperibadian unggul sebagai seorang pemimpin dalam diri setiap peserta.
  • Memberi pendedahkan kepada para peserta tentang kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh remaja muslimat masa kini.
Tentatif Program

MARI SERTAI KAMI!

Tarikh :

13—14 Mac 2010


Tempat :

Bait Al-Saadah,
Jalan Semangat 1,
Titi Gantung


Sasaran :

Remaja muslimat (10 tahun ke 22 tahun)


Yuran :

RM 20 seorang
RM 35 (untuk 2 adik-beradik)

Daripada Aisyah r.a, dari Nabi S.A.W baginda telah bersabda yang maksudnya : “Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka."

(Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Monday, March 1, 2010

Nisa turun ke PASTI -ALBAGHDADI TRAIN

Pada 20 hb Feb, Nisa' Parit telah berjumpa dan membuat pembentangan dengan semua GURU-GURU PASTI di peringkat kawasan tentang kaedah pembelajaran AlBaghdadi dan teknik penggunaan FLASHCARD.

Kursus Albaghdadi adalah salah satu teknik pengajaran untuk mempercepatkan pelajar-pelajar/kanak-kanak/dewasa untuk membaca Al-Quran dengan mengunakan teknik BUNYI dan KETUK. Kalau nak tahu lebih lanjut boleh dengar melalui IKIM setiap sabtu 5.15ptg. Namun begitu ianya baru diperkenalkan tahun lepas oleh Ustaz Jalal dan masih ada kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki. Nisa Parit telah membuat tinjauan dari beberapa Guru PASTI di kawasan Parit tentang masalah yang dihadapi ketika mengajar Kursus ini kepada pelajar-pelajar. Ada yang mengatakan pelajar cepat bosan, tidak memberi sepenuh perhatian dan mereka mulai konfius dengan teknik Iqra yang pernah diperkenalkan dulu . Alhamdulilah, Nisa telah menemui teknik 'TRAIN ' untuk menghilangkan perasaan bosan pelajar-pelajar ketika belajar dengan mengaplikasikan kemahiran asas; mendengar, mengeja, bertutur dan menulis.


pengerusi majlis memberi kata-kata aluan
Ketua Nisa Parit memberi ucapan pembukaan
Peserta yang hadir

Erni Yenti membentangkan teknik Albaghdadi

Flashcard yang dihasilkan

Bengkel 'bisik-bisik'

Guru pasti semunya ceria

Cenderahati sebagai penghargaan

Saturday, February 20, 2010

Temuduga Kerja : Apa Kunci Kejayaannya

Pada hemat saya, adalah amat baik jika saya memberikan sedikit manfaat berkenaan kemahiran temuduga buat pengunjung terutamanya bagi mereka yang masih dan sedang bergelumang dengan dunia mencari pekerjaan dan temuduga.

Berdasarkan puluhan sesi mengendalikan temuduga semasa bertugas di industri korporat dan juga beberapa pengalaman rakan-rakan yang lain. Alhamdulillah, saya terlibat sebagai panel untuk menemuduga calon-calon yang punyai keputusan cemerlang seperti CGPA 3.5 ke atas, 'Mumtaz', 'First Class', 'Distinction' dan sebahagiannya mempunyai Ijazah Sarjana.

Malangnya, banyak kali saya dan rakan-rakan di sektor swasta dapati individu yang mempunyai kelayakan akademik cemerlang di Universiti tetapi ianya tidak banyak membantu calon semasa temuduga.

Temuduga Takut @ Seronok?


Kreatif, Berkeyakinan dan Berbakat

Saya bimbang degan fenomena kegagalan sistem peperiksaan di Universiti yang gagal melahirkan seorang yang kreatif, beryakinan serta berbakat. Selain dari pengalaman saya sendiri dan juga apa yang kerap saya dengari dari rakan-rakan, ada graduan cemerlang yang seperti 'batu' semasa interview dan ada juga yang langsung tidak mampu menjawab soalan panel yang berbentuk ujian emosi dan kreativiti menjawab. Mungkin kerana soalan itu tiada dalam silibus buku mereka agaknya.

Mungkin kerana soalan itu tiada dalam silibus buku mereka agaknya.

Saya bimbang, munculnya graduan yang cemerlang atas kertas kerana kecekapannya menghafal silibus sahaja. Akhirnya, sekali dicuba di alam realiti, tersungkur jatuh dengan sekali cubaan sahaja. Kerana itu, bagi saya soalan peperiksaan perlu diolah dalam bentuk yang lebih praktikal dan mementingkan kefahaman berbanding hafalan semata-mata.

Tidak dinafikan kita inginkan pelajar menghafal, tetapi adalah hafalan berserta kefahaman sehingga bila dibawakan satu soalan dan situasi mencabar, ia mampu menjawab dan mengadaptasikan formula hafalannya dalam konteks semasa. Mampu memperkembangkannya dan bukannya hafalan kosong.

Tukang Masak da Chef

Jika anda bagaimana seorang tukang masak biasa menjadi Chef yang hebat. Jawabnya, adalah dengan mempelajari dan menghafal resipi asal dari seorang guru, kemudian mencuba dan mempelbagaikan ramuan sendiri. Akhirnya lahirlah resipinya sendiri dan rasa tersendiri. Resipi asal hanya menjadi titik mula untuk menjadi kreatif. Itulah nilai tambah yang dikehendaki dalam proses menuntut ilmu. Iaitu memperkembangkan ilmu.

Mungkin kerana itu, pendedahan berpersatuan dan berprogram di universiti amat penting dalam pembentukan graduan yang cekap dan kreatif dalam menangani masalah dan soalan-soalan panel temuduga.

Melalui tulisan ringkas ini, saya akan cuba mencoretkan beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian oleh seseorang calon temuduga. Sudah pasti bukan semua aspek sempat untuk saya coretkan, terutamanya saya bukanlah seorang pakar bab pengurusan dan temuduga. Namun masih boleh berkongsi pengalaman.

Kelemahan Calon

Secara ikhlas, terdapat beberapa kelemahan nyata bagi kebanyakan calon-calon, kelemahan tersebut juga berulang-berulang.

Soalan Biasa


Tidak kiralah samada interview di dalam Bahasa Inggeris, Melayu atau Arab, soalan awal adalah :

"Please introduce yourself" atau "Sila perkenalkan diri anda"

Ini adalah ayat biasa yang digunakan oleh panel untuk memulakan sesi temuduga.

Jawapan calon bagaimana?

"Saya berasal dari kampung sekian, sekian..adik beradik 11 orang, saya anak yang sulong, ibu bapa saya bekerja itu dan ini"

"saya sekolah tadika di..., "

"Saya sudah berkahwin dah punyai ....anak"

Bagi saya, jika calon menjawab seperti jawapan di atas, ia adalah suatu kekurangan pada minda calon dan 'disadvantages' buat calon tersebut.

Ini kerana calon sepatutnya memfokuskan pengenalan diri dalam hal yang berkaitan dengan kerjaya yang diminta sahaja.

Cukup memfokuskan kepada bahagian berikut :

1) Kelulusan & Pendidikan formal: Pendidikan Sekolah Menengah dan Universiti sahaja serta kaitan apa-apa subjek yang diambil dengan kerja yang dipohon.

2) Tempat bertugas sekarang (jika bekerja, jika tidak sebutkan pengalaman di Universiti seperti Exco persatuan dan lain-lain)

3) Pengalaman dan kemahiran yang ada dan kaitannya dengan tugas yang dipohon.

Saya kira, tiga point tadi sudah cukup, tidak perlu menghuraikan silsilah keluarga, nama emak, nama atuk, kahwin, anak, kampung dan lain-lain. Ia hanya menunjukkan ketidakmatangan calon.

Panel biasanya menyoal soalan ini untuk menilai tahap fokus calon dalam menjawab soalan dan kaitannya dengan kerja yang diminta. Bukan untuk berkenalan dengan calon.

Tahap Satu

Selapas soalan pertama, panel biasanyaakan cuba memperkembangkan soalan dari jawapan pertama calon, terutamanya dalam soal :

1) Panel akan melihat keputusan peperiksaan dan subjek yang diambil calon di Universiti dan akan mengutarakan soalan berkenaannya. Justeru, calon mestilah cuba ulangkaji terlebih dahulu sedikit isi penting subjek yang berkaitan dengan tugasan yang diminta.

Sebagai contoh : Jika seseorang calon memohon jawatan Syariah Executive di sebuah Islamic Bank.

Sudah tentu panel akan cuba menguji ilmu dan kefahaman subjek Fiqh Muamalat yang diambil calon ketika di universiti. Demikian juga subjek Qawaid Fiqh dan lain-lain yang berkaitan.

2) Tugas yang calon lakukan sekarang (sekiranya ia sedang bertugas) dan kaitan yang boleh menyokong kerjayanya sekarang.

Tatkala itu, calon mestilah bersedia dengan segala point yang dapat mengaitkan kerjaya yang dipohon. Walaupun ia dari dua displin yang berbeza.

Sebagai contoh, calon seorang siswazah masih bertugas sebagai cashier di sebuah pasaraya (kerja sementara menunggu yang sesuai dengan kelulusannya), dan sekarang calon memohon tugas sebagai Eksekutif Akaun di sebuah syarikat swasta.

Maka calon mestilah berupaya mengaitkan faedah kerjayanya sebagai cashier dengan tugasan yang dipohon. Calon mestilah kreatif berfikir dan mengaitkannya, paling kurang pun sekurang-kurangnya sebutlah bahawa dengan kerjaya sebagai juruwang itu, anda sudah terdedah dengan suasana pekerjaan, membuat laporan, menerima arahan supervisor dan lain-lain"

Bagi saya, kemampuan calon untuk mengaitkannya dikira sebagai satu merit baik buat calon.

3) Mengapa memohon kerja ini sedangkan anda sudah bekerja sekarang?

Ini soalan yang amat biasa bagi semua jawatan. Setiap alasan anda adalah amat penting untuk panel menilai pemikiran anda dan perancangan kerjaya anda. Kematangan dalam jawapan pastinya banyak membantu.

Kenalan saya pernah memberitahu bahawa banyak calon bumiputra gagal memberikan jawapan yang baik dalam soalan ini. Malah hingga ada yang mengatakan :

"Tak pelah, jika tak dapat jawatan ni pun saya tak la kisah sangat pun sebenarnya"

Kata sebegini adalah satu kesilapan besar.

4) Mengapa kerap menukar kerja?


Soalan ini amat relevan dan penting bagi panel iaitu dalam situasi anda pernah bekerja di pelbagai syarikat dan organisasi sebelum ini, atau kata lainnya, 'melompat-lompat'.

Mereka pasti akan bertanya sebab-musabab banyak melompat, malah sebahagian Managing Director dalam sektor 'Oil & Gas' pernah berkata kepada saya :

"Semua calon yang dilihat banyak melompat dari syarikat ke syarikat dalam tempoh kurang setahun atau dua tahun, awal-awal kami dah reject"

Lihat, malah dalam kebanyakan sektor swasta mereka akan menilai tahap kesetiaan anda dengan satu syarikat. Mereka tidak mahu anda melakukan demikian kepada syarikat mereka nanti. Jawapan konkrit perlu anda sediakan.

Tanpa jawatan konkrit, kebanyakan majikan akan menggangap individu yang kerap melompat sebagai :

1) Tidak setia kepada satu-satu organsasi.

2) Gila pangkat.

3) Jenis bermasalah dan pastinya masalah di tempat lama.

4) Pengejar kenaikan gaji secara rakus. Iaitu dengan cara melompat-lompat.

5) Kurang kemahiran khusus dalam satu bidang kerana asyik melompat.

6) Kurang kemahiran interpersonel

Tahap Kedua

Tahap seterusnya, panel biasanya akan mula menguji sekaligus :

1) Tahap kemahiran ilmu dalam bidang kerja yang dipohon.

2) Cara penyampaian jawapan termasuk cara pandangan mata, cara tangan semasa bercakap

3) Tahap keyakinan semasa menjawab soalan.

4) Tahap kedinamikan calon semasa menjawab.

5) Minat calon dalam kerjaya yang dipohon.

Ini adalah antara fokus utama seorang panel. Namun, jika jawatan yang dipohon adalah sebagai eksekutif sahaja. Biasanya panel akan bersifat lebih toleransi kerana jawatan eksekutif adalah satu jawatan yang masih dikira kecil di dalam sebuah organisasi dan syarikat. Justeru, tahap ilmu dan kemahiran tidaklah menuntut satu tahap yang tinggi.

Bagaimanapun, sesiapa yang mampu menunjukkan tahap kemahiran dan ilmu dengan cemerlang sudah tentu lebih baik.

Bagaimanapun point 2,3,4 dan 5 masih amat penting buat calon, walaupun hanya bagi jawatan eksekutif.

Banyak kekurangan dikenalpasti di kalangan graduan kita dalam hal ini. Antaranya :-

1) Tidak yakin dengan jawapan. Ada dua jenis soalan dalam temuduga, yang pertama soalan fakta dan yang kedua soalan bukan fakta.

Bagi soalan yang memerlukan fakta tepat, jika calon tidak mampu menjawab, mereka masih perlu menunjukkan keupayaan untuk merujuk kepada sumber-sumber tertentu.

Bagi soalan yang memerlukan pandangan bebas bukan fakta; keyakinan amat penting. Keyakinan itu perlu dizahirkan melalui cara dan intonasi bercakap, memek muka dan sedikit pergerakan tangan.

Ini tidak, bila ada yang tidak boleh jawab soalan fakta, mulalah terganggu pemikirannya sehingga semua jawapan selepas itu tidak yakin. Apatah lagi jika diprovokasi oleh panel seperti katanya,

"Anda sebenarnya tidak layak dan belum bersedia untuk jawatan ini"

2) Tidak menunjukkan bakat dan kemampuan untuk menyumbang. Ini adalah aspek penting dalam sebuah temuduga, calon mesti menunjukkan minat untuk menyumbang dan mempelajari jika diterima sebagai eksekutif, tunjukkan minat dan keghairahan untuk belajar, dan bukannya sekadar "InshaAllah" dengan lemah longlai serta ayat-ayat yang tidak bermotivasi.

Kebanyakkan panel temuduga ingin melihat bakat calon untuk diperkembangkan kelak. Mereka tidaklah mengharapkan anda sehebat orang yang punyai pengalaman 10 tahun. Apa yang diharapkan adalah kesediaan dan pembuktian bahawa anda adalah seorang calon yang berbakat.

3) Merendah diri. Benar, merendah diri adalah satu sifat yang terpuji dalam Islam tetapi semasa temuduga calon perlu menunjukkan dan menaikkan kebolehan diri. Bukan meninggi diri dalam bentuk melampau dan 'over' tetapi cukup sekadar menunjukkan kedinamikan diri dan kelayakan anda untuk jawatanyang dipohon.

4) Tidak Relaks & Kelihatan Tertekan. Calon perlu relaks dan kelihatan selesa semasa temuduga. Tenangkan diri dan jangan rasakan anda dalam sebuah temuduga. Ia mudah menganggu debaran hati dan jantung anda. Bayangkan anda sedang berbincang dengan guru sahaja.

Bagi sektor swasta, kemampuan calon menunjukkan ketenangannya dan relaksnya dalam temuduga mampu memberi kredit kepada calon. Ia membuktikan calon adalah orang yang boleh menanggung beban dan stress kerja swasta yang biasanya sibuk dan tertekan.

Tahap akhir

Sebagai ringkasan dalam tulisan ini, panel akan melihat kepada gaji semasa anda, dan gaji yang dipohon.

Ini sebenarnya adalah satu proses ujian kematangan yang hebat. Calon mesti berhati-hati agar tidak dihentam dan ditertawakan.

Justeru, 'expected salary' mestilah melihat kepada 'salary scale' di dalam pasaran dan gaji calon sekarang.

Untuk itu, calon mesti membuat kajian tahap gaji seorang eksekutif di bidang perbankan sebagai contoh. Atau sector pendidikan dan lain-lain. Jangan membuka kelemahan diri dengan memohon gaji seorang pengurus atau gaji seorang pekerja kilang sahaja.

Jangan letak terlalu tinggi dan jangan tersilap minta terlalu rendah berbanding kelulusan anda.

Jika anda seorang yang cemerlang dan punyai sarjana yang specifik dalam jawatan dan bidang tugas yang dipohon, lihat pula sektor apa, jika dalam sektor perbankan Islam sebagai contoh, jangan letak kurang dari RM 3000 sebulan.

Jika calon meletakkan bawah dari RM 3000 dengan kreteria yang disebut di atas, ia menunjukkan calon kurang mengkaji dan kurang matang dalam sektor pekerjaan.

Jika calon punyai pengalaman 2 tahun, jangan pula letak gaji dipohon sebanyak RM 6000. Sudah tentu akan ditertawakan oleh panel, jika tidak di hadapan calon, dibelakang sudah tentu agaknya.

Sebenarnya banyak aspek yang perlu dilihat dalam meletakkan gaji yang dijangka. Termasuk aspek :

1) Saiz syarikat : Syarikat besar atau kecil, tempatan atau antarabangsa. Semuanya punyai 'scale' yang berbeza.

2) Jenis sektor : Kejuruteraan, Perbankan dan Kewangan, Pendidikan, Konsultan dan lain-lain. Ini juga banyak berbeza.

3) Jenis kemahiran : jenis kemahiran khas atau biasa. Kemahiran yang mudah dijumpai di pasaran adalah lebih murah dan yang sukar. Sebagai contoh ; calon yang punyai kemahiran Fiqh Mualamat dan Perbankan Islam amat sukar ditemui dalam pasaran, hasilnya calon yang punyai pengalaman boleh meletakkan permohonan sedikit tinggi.

4) Jenis jawatan : Ia amat banyak mempengaruhi gaji jangkaan. Termasuklah nama jawatan, iaitu eksekutif, Eksekutif Kanan, Pengurus, Pengurus Kanan dan lain-lain. Juga dari aspek, jawatan tetap, kontrak atau separuh masa. Semua mempunyai scale masing-masing.

Justeru, calon perlu merujuk kepada mereka yag berpengalaman untuk menentukan gaji jangkaan. Jangkaan yang tepat pula pastinya akan ditanya oleh panel.

"Mengapa anda layak dengan gaji sebanyak ini?"

Jawapan perlu disediakan dari awal. Elok juga disebutkan kepada panel bahawa ia terbuka untuk perbincangan. Tatkala itu, panel akan bertanya lagi;

"Berapa minimum yang anda boleh agaknya?"

Sekali lagi anda perlu menyiapkan jawapan dari awal.

Oleh kerana biasanya soalan ini di akhir temuduga, calon juga boleh menilai serba siedikit prestasinya dan respon panel temuduga dalam meletakkan aras minimum gaji yang dijangka. Jika panel kelihatan menyukai anda dan anda juga kelihatan 'performed' dalam temuduga, bolehlah anda nilaikan gaji minimum yang sedikit tinggi. Demikian sebaliknya.

Soalan Penutup

Biasanya, soalan penutup panel temuduga adalah:

"Do you have any question?" atau " Saudara/i ada apa-apa soalan?"

Kebanyakan calon akan mengatakan ‘Tiada soalan"

Bagi saya, ia sekali lagi satu tindakan yang kurang tepat.

Panel sebenarnya ingin menilai minda anda terhadap kerja yang dipinta. Justeru lebih baik anda bertanya, pastikan pertanyaan adalah standard dan menunjukkan anda seorang yang berpandangan jauh. Seperti tanya berkenaan masa depan syarikat, peluang karier bersama syarikat, tahap kestabilan syarikat dan lain-lain. Bagaimanapun, jika calon terlalu tidak 'performed' di peringkat awal temuduga, soalan-soalan besar ini mungkin tidak perlu kerana akan membosankan panel.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda :-

إن الله عز وجل يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه

Ertinya : Sesungguhnya Allah s.w.t menyukai seseorang kamu apabila ia melakukan sesuatu kerja, ia sentiasa memperkemas dan menekuninya" (Riwayat At-Tabrani, terdapat komentar terhadap seorang perawinya iaitu Mus'ab bin Thabit, Ibn Hibban men ‘thiqahi'nya , dan majority melemahkannya)

Menurut sebuah hadis sohih pula :

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ على كل شَيْءٍ فإذا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وإذا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أحدكم شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Ertinya : "Sesungguhnya Allah s.w.t telah mewajibkan al-ihsan (professional, ketekunan dan ketepatan) dalam semua kerja, maka apabila kamu ingin berburu maka perkemaskan perburuanmu, apabila kamu ingin menyembelih maka perelokkanlah cara pemyembelihanmu, hendaklah ditajamkan alat sembelihanmu agar dapat merehatkan binatang yang disembelih" ( Riwayat Muslim, 3/1548 )

Kedua-dua hadis ini menganjurkan kecekapan dan professionalism dalam kerja. Tingkatkan ilmu dan kemahiran bermula dari proses temuduga. Moga Allah bersama kita sentiasa.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

7 November 2007

Baik diam

Banyak Kelebihannya berdiam diri. Orang yang pendiam itu lebih baik daripada orang yang suka berbicara yang tidak keruan. Baik perangai dan pendiam , kedua-duanya adalah sifat yang baik dan tidak susah mengerjakannya, asalkan hati menyuruh empunya diri berbuat demikian.

Nabi SAW bersabda : "Mahukah kamu aku khabarkan kepadamu, dengan semudah-mudah ibadat dan sesenang-senang atas tubuh,ialah diam dan baik perangai."
(Riwayat Ibnu Abiddunya dari Shafwan bin Salim).

Jika tidak dapat berkata-kata yang baik lebih baik mendiamkan diri. Berkata baik itu hendaklah kepada semua orang .Ketika Nabi SAW disarankan agar mengutuk orang-orang musyrik,baginda menjawab : "Aku tidak diutuskan untuk (melemparkan) kutukan,tetapi sesungguhnya aku diutuskan sebagai (pembawa) rahmat."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian juga kepada orang bawahan sama ada kerana usia atau pangkat. Anas r.a , pembantu rumah tangga Nabi SAW berkata: "Aku membantu rumah tangga Nabi SAW selama sepuluh tahun dan belum pernah baginda mengeluh " Ah!" terhadapku dan belum pernah beliau menegur ,kenapa kamu lakukan ini atau kenapa tidak kau lakukan ini? "
(Riwayat Ahmad)

Ingatlah kepada sabda Nabi SAW : "Seorang Mukmin bukanlah pengumpat ,yang suka mengutuk, yang keji dan yang ucapannya kotor"
(Riwayat Bukhari)

"Barangsiapa yg banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yg banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. dan barangsiapa yg banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya".
(Riwayat Abu Naim)

Jelaslah bahawa, ada hikmah yang tersembunyi di sebalik 'diam', usah gusar di label 'budak yang pendiam'.

Kalau orang menghina kita, bukan kita terhina,
yang sebenarnya orang itu menghina dirinya sendiri.


Diam orang mukmin itu ibadah,
Ibadah tanpa perbuatan,
Ibadah rasa,
Ibadah ini tidak meletihkan,

Kadang-kadang ibadah ini lebih baik daripada ibadah sunat,
Yang hatinya didalam kelalaian,
Macamana orang mukmin itu diamnya menjadi ibadah?

Kadang-kadang memikirkan dosanya,
Kadang-kadang memikirkan apa kebaikan yang nak dibuat,
Kadang-kadang memikirkan nak menolong kawan,
Kadang-kadang dia terasa kebesaran Tuhan,

Atau dia meniatkan, dia diam itu,
Tidak mahu bercakap yang bukan-bukan,
Kadang-kadang dia diam itu,
kalau dia bercakap,

Takut dia melakukan kesalahan,
Seperti dia mengumpat atau,
Kalau dia bercakap, takut-takut menyakiti hati orang,
Atau dia diam itu, menghormati percakapan orang,

Mungkin orang itu bercakap baik dapat pengajaran,
Atau dia hendak mengenal orang yang bercakap itu,
Baik atau jahat,
Dia biarkan saja orang itu bercakap,
Dan mendengar sahaja,
Kerana nak mengenal orang itu,

Kadang-kadang dia diam itu memikirkan dosa-dosa yang lalu,
Ataupun kecuaian dan kelalaian,
Yang telah dibuat, supaya dia bertaubat,
Ataupun mengingatkan ilmu pengetahuan,
Ataupun pengetahuan yang dilupakan datang semula ingatan,

Itulah yang dikatakan oleh pepatah Melayu,

"Diam-diam ubi berisi"

atau
"Diam-diam tong kosong"

atau
"diam-diam tong berisi sampah penuh kotoran ?
"


HIKMAH BERDIAM DIRI
Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita tersiksa kekal abadi di dalam neraka Allah SWT.

Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan oleh Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah.Oleh karena itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.

Banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak bicara tidak semestinya cerdik,
karena kecerdikan itu buah fikiran, orang cerdik yang pendiam lebih baik dari
orang bodoh yang banyak bicara.


HIKMAH DIAM
1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.
2. Perhiasan tanpa berhias.
3. Kehebatan tanpa kerajaan.
4. Benteng tanpa pagar.
5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.
6. Istirahat bagi kedua malaikat pencatat amal.
7. Menutupi segala aib.

Rasullulah bersabda mengenai kelebihan diam yang bermaksud:

"Barangsiapa yang beriman kepada Alah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam".
(Riwayat Bukhari & Muslim)

"Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya". (Riwayat At-Tarmizi)


Menasihati orang yang bersalah , tidak salah.
Yang salah memikirkan kesalahan orang
.




Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam. Jalan yang terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat berbicara kearah perkara-perkara yang baik. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih yang bergantung kepada kekuatan iman pada diri manusia.


** Sumber: Majalah Anis Edisi Mei 2009
www.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.ws