Monday, May 10, 2010

Belia dan Politik

Dipetik dari sini.

Apabila saya menyebut belia, saya maksudkan golongan yang berumur antara 17 hingga 40 tahun. Manakala definisi politik yang saya gunapakai ialah proses di mana sekumpulan manusia membuat keputusan kolektif. Perkataan ini berasal dari bahasa Greek yang bermaksud urusan negara. Walaupun politik begitu sinonim dengan proses kenegaraan atau kerajaan sebagaimana yang difahami oleh kebanyakan daripada kita, saya cuba bawakan definisi lebih luas yang merangkumi aspek hubungan sosial dalam pelbagai institusi kemasyarakatan yang dibentuk dari sel-sel yang merupakan individu atau rakyat perseorangan. Maksud politik yang ingin saya huraikan juga jauh dari politik kepartian yang mendominasi persada negara kita buat masa ini.

Hakikatnya, tahap kepedulian golongan belia Malaysia terhadap politik berada pada tahap yang sangat rendah. Salah satu indikator yang menyokong fakta tersebut ialah statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan 4.39 juta atau 28 peratus rakyat negara kita yang berkelayakan masih belum mendaftar sebagai pengundi dan majoritinya adalah terdiri dari golongan muda. Dan anda mungkin merupakan salah seorang daripada mereka!

Bagi mengupas isu ini secara adil dan tepat, skop perbincangan perlu diperluas kerana saya berpendapat mendaftar sebagai pengundi cuma merupakan salah satu indikator kepedulian belia terhadap politik, namun bukan tanda aras sebenar. Malah para belia dan telah berdaftar dan membuang undi dalam setiap pilihanraya sekalipun tidak bermakna mereka benar-benar memahami, menghargai dan mengambil berat tentang politik serta pelbagai isu sekitarnya.

Antara indikator lain yang ingin saya bawakan ialah penglibatan anak-anak muda dalam pesatuan-persatuan belia di Malaysia. Statistik menunjukkan bahawa hanya 2.9 peratus golongan belia yang menyertai dan bergiat aktif di dalam persatuan belia atau badan bukan kerajaan (NGO) di negara kita. Golongan belia selebihnya saya bahagikan kepada dua. Yang pertama ialah belia-belia yang mengisi statistik keruntuhan moral kronik yang melanda negara seperti lumba haram, seks bebas, dadah, gengsterisme, jenayah juvana, hiburan melampau dan banyak lagi. Manakala golongan kedua ialah generasi muda yang duduk berdiam diri dengan agenda kehidupan masing-masing tanpa memperdulikan masyarakat sekeliling.

Tanpa perlu pergi lebih jauh, cuba anda perhatikan realiti di kawasan setempat anda. Berapa ramaikah para belia yang terlibat dengan institusi kemasyarakatan setempat seperti Ahli Jawatankuasa (AJK) surau dan masjid, persatuan-persatuan penduduk serta badan-badab kebajikan dan sukarelawan masyarakat lainnya. Kemungkinan besar, jari-jemari di tangan anda sudah cukup untuk menghitungnya! Kita belum berbicara tentang memegang jawatan-jawatan utama dalam mewakili rakyat setempat di arena politik tanahair. Jika institusi kecil masyarakat pun dipandang sepi, apatah lagi tangungjawab dan kedudukan yang lebih tinggi untuk memacu pentadbiran dan pembangunan negara.

Di mana silapnya?

Memahami tabiat golongan belia dan percaturan politik setempat merupakan pra-syarat kepada pemahaman yang tepat kepada punca kemelut ini. Secara ringkas, saya dapat simpulkan punca utama kepada komplikasi ini ialah hilangnya jatidiri dan karakter dalam diri anak-anak muda kita hari ini. Mereka kehilangan identiti diri, kabur matlamat hidup, hanyut dibawa arus deras hedonisme serta hilang sokongan sosial masyarakat sekeliling. Akhirnya mereka hanya mampu mengisi statistik-statistik keruntuhan moral yang saya sebutkan sebelum ini. Jika diri sendiri pun tidak mampu dipimpin, apalagi yang mahu diharapkan daripada mereka?

Namun, masih ada sebilangan kecil belia yang bernasib baik. Mereka berperibadi bersih, berpendidikan tinggi dan mempunyai status sosial yang baik. Tetapi permasalahan lain pula yang melanda. Pertama, matlamat hidup yang berbentuk individualisme dan meminggirkan sumbangan kepada agama dan negara. Kedua, pendedahan dan kefahaman yang dangkal tentang konsep politik dan aplikasinya. Selain itu, generasi belia hari ini juga tidak memahami kepentingan politik dalam membangunkan agenda bangsa dan agama.

Secara realiti, ketika di bangku sekolah, perihal politik langsung tidak diendahkan kerana pada persepsi mereka politik merupakan urusan ‘orang-orang dewasa'. Malah ketika mula berkecimpung dalam alam universiti atau kolej, sistem politik kampus yang persis politik kepartian negara ternyata menyebabkan mereka kecewa dan mengambil langkah mengundurkan diri. Setelah berkerjaya, kesibukan kerja dan pengurusan keluarga menjadikan mereka terus jauh dari terlibat dengan masyarakat setempat dan politik secara amnya.

Dapat simpulkan bahawa kehendak dan hasrat golongan ‘emas' ini yang tidak mampu ditampung oleh sistem politik tempatan semasa menjadi punca utama. Lantas lahirlah golongan belia yang berpendapat bahawa politik tidak ada kaitan langsung dengan kehidupan mereka. Mereka turut merasakan bahawa ahli politik yang dilantik tidak mampu mewakili hasrat dan agenda generasi muda disebabkan jurang umur, status ekonomi dan latar belakang pendidikan yang ketara.

Pelbagai usaha termasuk oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 1985 sebagai Tahun Antarabangsa Untuk Belia, perlaksanaan dokumen PBB, Plan of Action for Youth Programmes for the Year 2000 and Beyond, Dasar Pembangunan Belia Negara (1997), Program Belia Komanwel (1998) dan Persidangan Pertama Menteri Belia SeDunia (1998) ternyata tidak banyak mengubah fenomena pembangunan belia serta penglibatan mereka dalam menyumbang terus kepada masyarakat dan negara.

Jadi, apakah masa depan belia negara dalam menggarap politik setempat? Ya, sudah tentu ianya banyak bergantung kepada peranan bersama institusi keluarga, sistem pendidikan, media massa, badan-badan bukan kerajaan, serta kerajaan sendiri untuk membina jatidiri generasi muda serta mengurangkan kalau tidakpun menutup terus jurang antara golongan ini dan arena politik itu sendiri. Pemahaman politik yang jelas serta perlaksanaannya dalam bentuk yang sihat perlu diterapkan kepada golongan muda demi memastikan penglibatan mereka yang lebih proaktif dan agresif dalam arena ini.

jangandiam

Sebagai contoh, pengalaman peribadi saya menghadiri Konvensyen Pemikiran Hasan Al Banna Dalam Melakar Sejarah Bangsa anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ternyata memberikan pengalaman yang berharga. Melalui pemerhatian kasar saya, lebih 80 peratus daripada peserta konvensyen yang membincangkan perihal politik tanahair merupakan golongan belia terutamanya para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta. Walaupun, kehadiran satu program ini tidak mencerminkan keadaan keseluruhan belia negara, saya tetap optimis ianya merupakan suatu petanda baik yang perlu disuburkan demi melihat peranan yang lebih besar dimainkan oleh golongan belia dalam arena politik negara. Lebih banyak program-program seumpama ini serta aktiviti-aktiviti khidmat masyarakat, kesukarelawanan, kursus-kursus kepimpinan dan jatidiri perlu dianjurkan bagi mendidik generasi muda kita asas-asas politik sebelum mereka berkecimpung dalam bidang politik yang lebih mencabar.

Penulis: Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad.
(Pengerusi PEMBINA Melaka)

Wednesday, May 5, 2010

Salah Faham: Judging a Book by its Cover



Ungkapan ini kerap saya dengari, saya yakin anda juga mungkin kerap mendengarnya. Kata-kata dari wanita yang tidak menutup aurat yang sering mendakwa bahawa hatinya baik dan suci walaupun ia berpakaian seksi serta mendedahkan aurat.

"Orang wanita bertudung pun banyak yang jahat hari ini, berzina, khalwat dan macam-macam lagi" Katanya memberi buah fikirannya.

"Malah, kami juga baik, kami tak kacau orang, tak mengumpat dan buat benda-benda tak elok" tambah wanita ini lagi.

Benarkah hujjah mereka?. Benarkah penampilan luaran tidak terpakai di dalam Islam ?. Ada juga yang sudah semakin ‘advance' hujahnya lantas berhujjah dengan sebuah maksud hadith Nabi yang sohih iaitu :
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu" (Riwayat Muslim)

Simpati bercampur kesal saya mendengar bagaimana terdapat orang yang sewenangnya berhujjah dengan hadith untuk menyokong nafsunya. Hanya digunakan Islam dalam hal yang selari dengan kehendaknya sahaja.

Seorang pekerja yang dijumpai oleh majikannya sedang bermain ‘game' semasa waktu kerjanya sedangkan dokumen yang dipinta si boss masih tidak disiapkan,

lalu si majikan berkata: "Macam mana kamu nak cemerlang dalam kerja kalau begini sikap kamu"

Lalu jawab si pekerja : " Saya luaran je nampak main ‘game' boss, tapi hati saya ikhlas dan saya kerja dengan cemerlang"

Adakah anda rasa si boss boleh menerima cakap pekerjanya itu ? Adakah Allah SWT boleh mengganggap hati seseorang itu suci dan baik dengan melanggar perintahNya? Hakikatnya, sesuatu untuk baik dan suci mestilah ditentukan mengikut neraca Allah dan RasulNya, bukannya neraca pemikiran kita semata-mata.

Jika merujuk kepada neraca Islam, Nabi SAW pernah bersabda ertinya :
"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadith ini, menurut neraca Islam kebaikan hati seseorang boleh dilihat di peringkat pertamanya dari tindak tanduknya. Ertinya, bila tindakannya sentiasa menyalahi kehendak dan hukum yang diletakkan Islam, ia adalah tanda kekotoran hatinya. Jika tindakan luarannya pula bertepatan dengan kehendak Islam, maka adalah harus ianya dianggap baik pada peringkat pertama iaitu neraca luaran orang ramai, adapun baik di peringkat kedua adalah samada hatinya bertujuan kerana Allah ata selainnya seperti sekadar menunjuk-nunjuk sahaja.

Justeru, 'we can judge a book by its cover in certain cases' iaitu apabila perkara asas Islam dilanggar, maka sudah tentu ‘that cover is reflecting what's inside the heart of a person'. Menghukum berdasarkan yang zahir ini bertepatan dengan hadith Ertinya : "Sesungguhnya aku hanya manusia, dan kamu sentiasa membawa kes pertikaian untuk di selesaikan olehku, dan mungkin sebahagian kami lebih cekap berhujjah dari sebahagian lainnya, maka aku telah memutuskan hukuman berdasarkan apa yang kudengari sahaja. Barangsiapa yang telah ku jatuhi hukuman dan hukuman itu mengambil hak yang lain (akibat kurang cekap pihak yang benar dalam berhujjah), maka janganlah kamu mengambilnya, sesungguhnya ia bakal menjadi sepotong api neraka"
(Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan lain-lain ; Rujuk Naylul Awtar, 8/632, no 3920 )

Hadith ini dengan jelas menunjukkan seorang hakim dalam Islam akan membuat hukum berdasarkan info dan bukti zahir yang diberikan. Demikian juga dalam kes penutupan aurat, tanpa menutupnya adalah tanda keingkaran hati terhadap arahan Allah. Mana mungkin hati begini boleh dianggap baik oleh Islam.



Kaum wanita perlu menyedari bahawa dengan pembukaan auratnya, setiap lelaki yang melihatnya akan memperoleh dosa setiap kali ia memandang. Tetapi yang beratnya adalah si wanita bukan mendapat satu dosa bagi kesalahan itu, tetapi juga meraih setiap dosa semua lelaki yang memandangnya. Bayangkanlah berapa banyak dosa yang diperolehi hanya dengan pembukaan aurat di satu hari. Ia berdasarkan sabda Nabi SAW Ertinya : "Sesiapa yang mempelopori sesuatu yang buruk, maka ke atasnya dosa dan dosa setiap orang yang membuatnya tanpa sedikit kurang pun dosanya.." ( Riwayat Ahmad dan lain-lain : Sohih )

Termasuklah dalam erti mempelopori, apabila seseorang itu mempelopori pembukaan auratnya di hari itu, yang menyebabkan lelaki melihatnya mendapat dosa. Pastinya, si wanita itu juga mendapat dosa tanpa kurang bagi setiap mata yang memandang. Adakah hati orang sebegini boleh dikira baik? setelah gunungan dosa mengaratkan hatinya?.

Sesungguhnya Allah itu maha adil dan maha pengasih. Segeralah mendapatkan kasih sayang Allah dengan mentaatinya. Bagi yang berdegil, tiada kata yang dapat diberikan kecuali; Yakinilah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan Neraka juga benar. Jika mempercayainya maka mengapa tindakan masih seolah meraguinya?


Penulis: Ustaz Zaharuddin
www.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.wswww.bigoo.ws